Lihat kesan buruk akibat dadah sebelum hapus hukuman mati

Keputusan kerajaan memansuhkan pelaksanaan hukuman gantung mati mandatori, susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu, pastinya mencetuskan polemik dalam masyarakat khususnya pengamal undang-undang dan pakar perundangan, apatah lagi terhadap jenayah membabitkan dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ini kerana hukuman gantung sampai mati mandatori menjadi kaedah atau langkah digubal kerajaan sebagai amaran keras kepada penyeludup serta pengedar dadah beroperasi di negara ini. Sekiranya mereka tertangkap ketika menjalankan sebarang bentuk aktiviti penyeludupan, pengedaran atau pemilikan dadah, penjenayah yang dibuktikan bersalah akan dikenakan hukuman mati.

Rasional pelaksanaan hukuman gantung sampai mati bukan sahaja penting bagi mengawal penyeludupan dadah ke negara ini, bahkan menjadi pengajaran kepada individu terbabit dalam kegiatan dadah kerana Malaysia tidak akan berkompromi dalam isu jenayah itu dalam negara ini.

Pemilikan dadah seberat lebih 15 gram di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 membawa kepada hukuman gantung sampai mati mandatori kepada penyeludup dan pengedar dadah. Kerajaan melaksanakan proses penggubalan hukuman ini bermula April 1975, sebagai langkah tidak bertoleransi dengan golongan itu.DISYORKAN UNTUK ANDA

Pada masa sama, negara jiran kita, Singapura juga menjadi negara pertama menjalankan pelaksanaan hukuman gantung sampai mati kepada pengedar dan penyeludup dadah di republik terbabit.

Namun di sebalik pelaksanaan hukuman gantung sampai mati mandatori, kegiatan penyeludupan dadah masih berlaku hingga ke hari ini tanpa ada sebarang jalan penyelesaian.

Faktor keuntungan lumayan sindiket dadah menyebabkan ramai penyeludup dadah tidak takut kepada hukuman sejajar dengan sifat tamak dan ingin mengumpul kekayaan sekelip mata.

Berdasarkan maklumat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (JSJN), setiap penyeludup dadah memperoleh anggaran ‘keuntungan’ sebanyak RM1,000 hingga RM5,000 bagi setiap kilogram jenis dadah dihantar masuk ke negara ini.

Laporan United Nation Office on drugs and Crimes (UNODC) mendedahkan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah menjana keuntungan RM2.5 trilion setiap tahun dan dilihat sebagai perniagaan amat menguntungkan menyebabkan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa menggunakan pelbagai kaedah untuk mengembangkan kegiatan keji mereka.

Dalam usaha sindiket penyeludupan dadah antarabangsa mengembangkan empayar perniagaan, mereka sentiasa merekrut ahli baharu untuk menjalankan penyeludupan sekiranya terdapat ahli sindiket ditangkap pihak berkuasa. Dengan menawarkan upah lumayan, hal ini menarik perhatian individu lain untuk menyertai sindiket.

Dalam pada itu, perasaan tidak takut mati menyebabkan terdapat segelintir penyeludup dan pengedar dadah tidak mengendahkan hukuman dikenakan kerajaan kerana selagi tidak tertangkap, mereka tidak dikenakan hukuman terbabit.

Namun, persoalan penting perlu dijawab sekiranya hukuman mati mandatori ini dihapuskan dalam kes dadah, apakah tidak ada kebimbangan terhadap kemungkinan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah akan lebih meningkat?

Sekiranya pelaksanaan hukuman gantung sampai mati mandatori yang dianggap sebagai langkah efektif sedia ada dalam memastikan kegiatan jenayah membabitkan dadah dapat dikawal sebaik mungkin pun masih tidak menggerunkan sindiket dan anggota mereka, bagaimana pula ketika tiada lagi hukuman tegas itu?

Harus diingat ketegasan pelaksanaan undang-undang pencegahan dadah ditunjukkan Akta Dadah Berbahaya 1952 menggambarkan Malaysia tidak berkompromi kepada penyeludup dan pengedar dadah yang melakukan jenayah di negara ini dan disabitkan dengan hukuman mati mandatori sekiranya benar-benar terbukti bersalah.

Justeru, pemansuhan hukuman mati mandatori itu yang asalnya dibuat pihak seperti ahli politik dan kumpulan berkepentingan atas dasar faktor kemanusiaan hingga menyebabkan kerajaan mempertimbangkannya dan melakukan tinjauan awam, adalah tindakan tidak wajar.

Cadangan kerajaan memansuhkannya itu perlu diperhalusi lebih mendalam kerana negara ASEAN seperti Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan Myanmar masih melaksanakan hukuman mati kepada penyeludup serta pengedar dadah di negara mereka.

Kita baru saja mengikuti perkembangan kes hukuman gantung sampai mati rakyat Malaysia, Nagaenthran Dharmalingam akibat kesalahan menyeludup dadah jenis heroin seberat 24 gram pada 22 April 2008 pada 27 April lalu.

Ketegasan Singapura menegakkan sistem perundangan antidadah jelas tidak terjejas meskipun tokoh ahli perniagaan terkemuka British, Sir Richard Branson menggesa Presiden Singapura, Halimah Yacob memberikan pengampunan kepada Nagaenthran yang mengalami masalah ketidakupayaan mental.

Sekiranya hukuman gantung sampai mati mandatori kepada pengedar dan penyeludup dadah dimansuhkan, keselamatan negara bertambah terjejas kerana sindiket penyeludupan dadah tempatan serta antarabangsa berkemungkinan menjadi lebih berani menjalankan operasi di negara ini.

Ini kerana hukuman pencegahan dadah dikurangkan, sekali gus tidak menimbulkan ketakutan kepada penyeludup menjalankan kegiatan di negara ini dengan lebih agresif.

Realitinya, rasional pelaksanaan hukuman gantung sampai mati kepada pengedar dan penyeludup dadah adalah wajar kerana kegiatan jenayah penyeludupan serta pengedaran dadah dijalankan bukan sahaja mendatangkan

permasalahan serius kepada penagih dadah, bahkan mengancam keamanan masyarakat.

Oleh itu, kerajaan diharap memperhalusi cadangan pemansuhan hukuman gantung sampai mati mandatori membabitkan pengedar dan penyeludup dadah kerana hukuman berkenaan dilihat bagi mengawal aktiviti jenayah membabitkan dadah daripada terus berleluasa.

Sekiranya terdapat pandangan sesetengah pihak menyatakan hukuman gantung sampai mati kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan, bagaimana pula nasib penagih dadah yang dilihat menjadi sampah masyarakat, kesan kebinasaan terhasil daripada bekalan dadah diseludup, diedar serta dijual sindiket pengedaran dadah dalam negara?

Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *