Vaksinasi berskala besar dilihat satu-satunya jalan keluar daripada COVID-19 yang diambil kebanyakan negara dengan objektif mencapai imuniti kelompok.
Dari segi pembelian vaksin, negara mengambil pendekatan berjaga-jaga dengan menggunakan tiga jenis vaksin iaitu Pfizer-BioNTech (Pfizer), AstraZeneca dan Sinovac melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Terdapat juga negara menggunakan pendekatan berbeza dengan memberi sepenuh kepercayaan terhadap vaksin keluaran Sinopharm dan Sinovac buatan China, terutama negara Amerika Latin, (Brazil, Chile, Argentina), Indonesia dan Bahrain.
Sinopharm dan Sinovac menggunakan teknologi konvensional berasaskan prinsip penyahaktifan virus diedarkan kepada lebih 70 negara terutama negara sedang membangun di Afrika, Asia dan Amerika Latin.
Harga lebih murah berbanding vaksin lain mendorong pembelian besar-besaran oleh negara berkenaan, selain pemberian secara percuma kerajaan China melalui hubungan diplomatik.
Keputusan keberkesanan vaksin dari China melalui kajian awal fasa 3 dijalankan di tiga negara (Brazil, Indonesia dan Turki), menunjukkan peratusan agak rendah (50 peratus di Brazil dan 65 peratus di Indonesia) berbanding Pfizer dengan keberkesanan melebihi 90 peratus.
Namun, realiti pahit terpaksa ditelan sesetengah negara seperti Chile, Bahrain dan Mongolia di mana kadar kematian dan jangkitan kes baharu COVID-19 tidak menunjukkan penurunan walaupun peratusan populasi divaksinasi melebihi 50 peratus dicapai sejak Jun.
Ini menyebabkan ramai pakar menuding jari terhadap keberkesanan vaksin berkenaan walaupun terdapat juga pelbagai faktor luaran perlu diambil kira.
Trend sama dilihat di Indonesia ketika ini yang sedang menghadapi peningkatan kes jangkitan dan kematian.
Pendekatan Malaysia menggunakan tiga vaksin berbeza dilihat berani dalam situasi di mana kita terpaksa bergantung vaksin diimport dan bersaing dengan negara lain untuk mendapatkan bekalan yang terhad.
Kita dapat mengetahui keberkesanan program vaksinasi dijangka November nanti, di mana peratusan populasi menerima suntikan melebihi 50 peratus. Namun kesan positif diharapkan belum dapat dipastikan apabila kes harian kini tidak menunjukkan trend penurunan walaupun program vaksinasi dipertingkatkan.
Kehadiran varian baharu yang berupaya mencetus gelombang baharu perlu diberi perhatian sewajarnya melalui pengesanan awal.
Tambahan pula, keberkesanan vaksin Pfizer terhadap varian ini didapati berkurangan berdasarkan kajian diterbitkan jurnal The Lancet yang meletakkan Eropah dalam berjaga-jaga di mana kebanyakan negara melonggarkan sekatan.
Inisiatif kerajaan membangunkan sendiri vaksin buatan tempatan melalui kerjasama Institut Kajian Perubatan (IMR) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) sangat bersesuaian untuk mengurangkan kebergantungan teknologi luar.
Selain itu, kajian dan pembangunan ubat yang dapat mengurangkan kesan jangkitan COVID-19 juga perlu diperkasakan, di mana tumpuan ketika ini lebih diutamakan terhadap pembangunan vaksin sebagai langkah pencegahan.
Beberapa ubat disyorkan ketika ini kebanyakannya masih pada peringkat kajian dan tidak disyorkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk digunakan secara meluas.
Vaksinasi berskala besar dilihat satu-satunya jalan keluar daripada COVID-19 yang diambil kebanyakan negara dengan objektif mencapai imuniti kelompok.
Apa pun, pelan jangka panjang menangani kesan COVID-19 perlu dirangka kerana dijangkakan pandemik akan berlarutan sehingga tiga tahun.
Bekalan makanan dalam negara juga perlu ditingkatkan melalui peningkatan pengeluaran hasil daripada sektor pertanian khususnya bagi menampung permintaan dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import.
Ini dapat dilakukan dengan menggalakkan mereka yang terkesan menceburi bidang pertanian melalui pengenalan inisiatif dan tawaran bantuan berbentuk geran.
Penulis adalah Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UK)