Nak ambil vaksin mana satu? Vaksin mana paling baik? Pfizer? Astrazeneca? Sinovac? Ini soalan cepu emas apabila bercakap mengenai vaksin COVID-19. Namun, beberapa perkara perlu difahami untuk mengelak timbul polemik sebegini.
Vaksin COVID-19 adalah satu usaha biologi untuk melawan kesan jangkitan virus SARS-CoV-2, penyebab wabak COVID-19. Ia tidak dapat menghalang jangkitan virus masuk ke dalam tubuh manusia melalui hidung, mulut atau mata.
Kita tidak berkeupayaan menutup hidung dan mulut sepanjang masa atas keperluan untuk bernafas, makan dan minum. Oleh itu, prosedur operasi standard (SOP) pencegahan jangkitan adalah usaha fizikal mencegah penularan.
Penerima vaksin kurang berisiko mendapat gejala teruk kategori tiga, empat dan lima sehingga memerlukan rawatan di hospital atau kematian. Maka tidak menghairankan apabila seseorang yang divaksin masih dijangkiti dengan risiko kategori satu dan dua.
Mereka yang tidak divaksin kemungkinan mendapat COVID-19 dengan gejala teruk lebih tinggi iaitu kira-kira 16.5 peratus dan meningkat dengan komorbiditi.
Berbalik soal pemilihan vaksin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan syarat minimum efikasi pada tahap 50 peratus sebelum sesuatu vaksin diluluskan penggunaannya.
Pada tanggapan awam lebih tinggi peratus efikasi, maka lebih baik vaksin itu. Atas perbandingan inilah kemungkinan punca utama polemik pemilihan vaksin, sedangkan asas perbandingan ini tidak tepat.
Peratus efikasi merujuk keputusan statistik ujian vaksin dalam keadaan terkawal seperti bilangan peserta, demografi peserta, dan di mana ujian dijalankan. Disebabkan variasi yang wujud dalam pelaksanaan ujian efikasi vaksin, maka peratus efikasi vaksin juga akan berbeza.
Lebih penting, setiap individu berbeza dari segi tindak balas sistem keimunan. Oleh itu, variasi peratusan efikasi vaksin tidak dapat dielakkan.
Peratus efikasi vaksin lebih kepada satu penunjuk bahawa ia berpotensi dan boleh digunakan sebagai usaha mendapat perlindungan daripada kesan jangkitan. Lebih utama, untuk dinilai keberkesanan penggunaan vaksin di luar keadaan terkawal iaitu dalam populasi lebih ramai.
Dalam konteks Sinovac – prestasi vaksin itu setara dilaporkan untuk Pfizer dan Astrazeneca. Jadi mengapa berlaku polemik dalam memilih vaksin COVID-19 apabila data yang ada membuktikan semua vaksin diguna pakai dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menunjukkan prestasi cemerlang menghalang kesan jangkitan menjadi teruk?
Dengan jumlah kes harian masih tinggi dan sistem kesihatan awam terbeban, kita tidak ada pilihan melainkan memastikan diri sendiri tidak menyumbang peningkatan angka harian.
Jadi, hentikan sifat stereotaip dan bias terhadap jenama vaksin, sebaliknya lihatlah kepada data yang ada dan bukan persepsi semata-mata.
Hakikatnya, kerajaan tidak semberono memilih vaksin digunakan dalam PICK, tetapi merujuk nasihat dan pandangan pakar bidang. Semua vaksin dipilih terbukti selamat dan berkesan.
Mungkin ada mempersoalkan perolehan tiga jenama vaksin COVID-19. Gambarannya, seolah-olah rakyat mempunyai pilihan.
Realitinya, tindak balas sistem keimunan berbeza setiap individu. Jika berlaku kesan sampingan teruk selepas menerima dos suntikan, maka masih ada pilihan vaksin lain boleh diberikan.
Terkini, kerajaan sedia menjual 14 juta dos vaksin Sinovac kepada pihak swasta dan negeri. Ini menunjukkan kepercayaan kepada vaksin itu.
Perlu diketahui, semakin meluas penularan virus dalam populasi, semakin banyak jangkitan akan berlaku. Ini memberi peluang kepada virus bereplikasi lebih giat menghasilkan virus baharu.
Virus corona mempunyai RNA sebagai bahan genetik atau bahan pewaris. Seperti virus RNA lain, virus corona juga mengalami kadar mutasi semula jadi yang tinggi setiap kali melakukan proses replikasi.
Apabila lebih banyak proses replikasi berlaku disebabkan bilangan jangkitan tinggi, semakin banyak perubahan boleh berlaku pada virus baharu yang dihasilkan.
Bergantung di mana mutasi berlaku dan sekiranya ia mutasi senyap, maka tiada perubahan kepada virus baharu. Namun, sekiranya mutasi berlaku pada protein pepaku virus corona dan membabitkan perubahan, maka kemungkinan akan wujud varian baharu yang sedikit berbeza daripada varian asal.
Inilah yang berlaku pada varian baharu yang sudah ada kini seperti Alpha, Beta dan Delta.
Implikasi perubahan ini adalah kepada keberkesanan vaksin sedia ada dalam melawan COVID-19 kerana vaksin sedia ada dibangunkan berasaskan varian asal.
Keberkesanan vaksin Pfizer dan Astrazeneca terhadap varian Delta sedikit terjejas, tetapi masih memberikan perlindungan diharapkan, terutama dalam melawan COVID-19 bergejala dan memerlukan rawatan di hospital.
Untuk Sinovac pula, kajian pemula mencadangkan penurunan 20 peratus keberkesanan perlindungan terhadap varian Delta. Mengambil kira prestasi Sinovac berhadapan varian asal, penurunan 20 peratus keberkesanan masih meletakkan prestasi vaksin itu setara Pfizer dan Astrazeneca.
Vaksin Sinovac adalah virus dinyah aktif dan dengan itu mempunyai lebih daripada satu protein yang mampu merangsang sistem keimunan menghasilkan tindak balas imun yang luas, merangkumi penghasilan antibodi dan tindak balas imun sel perantara.
Walaupun kewujudan varian baharu boleh mengurangkan sedikit keberkesanan vaksin, ia masih mampu menawarkan perlindungan pada tahap tertentu.
Bagaimana pula dengan prestasi vaksin Sinovac terhadap varian Delta di Indonesia? Tidak perlu panik kerana terdapat penjelasan kepada situasi itu yang boleh kita ambil iktibar.
Kepatuhan SOP pencegahan dalam kalangan rak- yat Indonesia tidak memberangsangkan. Dengan kepadatan penduduk tinggi dan kehadiran varian Delta yang mampu menular lebih cepat menyebabkan ramai dijangkiti. Kadar vaksinasi Indonesia juga rendah – hanya 5.49 peratus populasi menerima dua dos vaksin.
Kesan dua keadaan ini adalah beban melampau ke atas sistem kesihatan awam yang terpaksa berhadapan jumlah mereka yang memerlukan rawatan di hospital melebihi kapasiti kemampuan.
Keadaan bertambah buruk apabila petugas kesihatan dijangkiti dan perlu diasingkan untuk menerima rawatan. Ini menambah beban kepada petugas kesihatan yang ada.
Beban terlampau ini menjejaskan kesihatan dan sistem keimunan petugas kesihatan. Maka, petugas kesihatan yang lengkap dua dos vaksin dijangkiti. Sistem keimunan terjejas tidak mampu berhadapan jangkitan menyebabkan kesan jangkitan teruk sehingga menyebabkan kematian.
Kita tidak mahu apa dialami Indonesia berlaku di Malaysia, lantas kita perlu menggiatkan usaha pemvaksinan.
Malaysia kini di landasan baik dengan kadar pemberian vaksin 1.25 untuk setiap 100 populasi, dengan kadar pemberian vaksin tertinggi.
Fokus kita untuk memastikan seramai mungkin melengkapkan dua dos vaksin secepat mungkin supaya sasaran imuniti kelompok dapat dicapai dalam masa singkat.
Setiap satu dos vaksin COVID-19 tanpa mengira jenama adalah bermakna. Ditambah kepatuhan SOP pencegahan menjadikan vaksin terbaik untuk setiap rakyat Malaysia.
Prof Madya Dr Yahya Mat Arip adalah Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia (USM)
Sumber: Berita Harian