Herd Immunity, atau imuniti kelompok ialah keadaan penularan jangkitan penyakit tidak dapat berlaku kerana sebahagian besar masyarakat itu mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit itu.
Imuniti atau daya tahan itu diperoleh hasil imunisasi. Menurut WHO, dianggarkan 60 hingga 70% populasi dunia perlu mempunyai daya tahan terhadap #COVID19 bagi membolehkan ‘imuniti kelompok’ dapat dicapai dan penularan #COVID19 dapat dikawal.
Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM), sehingga 12 Ogos lebih 9.5 juta (40.7 peratus) daripada populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin, manakala lebih 16.3 juta (69.8 peratus) lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos pelalian.
Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) sehingga 11 Ogos pula menunjukkan 20,273,324 mendaftar untuk mendapatkan vaksin, dengan beberapa negeri mencatatkan kadar pendaftaran rendah bawah 80 peratus. Contohnya Sabah (45.5 peratus), Kelantan (64.3 peratus) dan Pahang (76.9 peratus).
Angka-angka ini amat membimbangkan berikutan sasaran 80 peratus penduduk perlu menerima vaksinisasi COVID-19 oleh kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.
Setuju atau tidak, angka di atas menunjukkan kadar kesedaran rakyat terhadap kepentingan vaksin.
Setelah pelbagai usaha dilakukan bagi memberi kesedaran dan kepentingan vaksin, kerajaan perlu memikirkan langkah seterusnya; mewajibkan pengambilan vaksin oleh setiap rakyat.
Tindakan ini mungkin akan menyebabkan berlakunya penentangan oleh kumpulan ‘antivaksin’. Disinilah kerajaan perlu meneliti pendekatan yang terbaik untuk menangani kumpulan ini.
Kewujudan kumpulan ini sangat membimbangkan, kerana mereka juga menyebarkan hujah yang mampu memberi tanggapan salah terhadap vaksin. Dikhuatiri, hujah ini mempengaruhi orang ramai lantas menolak janji temu dan tidak hadir untuk divaksin.
Kita tidak boleh lagi membiarkan golongan-golongan ini terus menggagalkan usaha kerajaan dalam menentang COVID-19. Tidak hanya mengagalkan usaha kerajaan melalui hujah, malah mereka berpotensi dijangkiti dan menjangkiti orang lain.
Barisan hadapan kita sudah kepenatan, dan janganlah pula mereka terus dibebani dengan golongan-golongan yang dijangkiti virus kemudian hari, hanya kerana kedegilan golongan ini sendiri pada ketika ini.
Usaha kerajaan memberi kelonggaran samada melakukan pergerakan atau urusan kepada individu yang telah divaksin adalah sangat bertepatan. Ini sudah tentu akan menggalakan orang ramai menerima suntikan vaksin agar mereka dapat menjalani kehidupan seperti sebelum ini.
Sebagai contoh, Arab Saudi, telah mengenakan syarat sudah divaksin bagi yang hendak melaksanakan haji dan umrah.
Usaha kerajaan melalui MySejahtera dan program vaksiniasi secara “walk-in” masih bersifat ‘sukarela’. Sudah tiba masanya untuk kerajaan melaksanakan kaedah ‘paksa rela’, demi kesejahteraan semua.