Politik Matang Menerusi Pendekatan Bipartisan

Istilah bipartisan tiba-tiba menjadi ‘mantera’ apabila Perdana Menteri menyebutnya sebagai pendekatan menangani kemelut politik Malaysia yang semakin getir dalam situasi pandemik yang memuncak.

Bipartisan adalah keadaan di mana parti politik yang kebiasaannya bertelagah, bersetuju untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat dan negara. Pendekatan ini dalam sejarah demokrasi menjadi pilihan apabila sesebuah kerajaan dwiparti menghadapi krisis besar dan memerlukan parti politik mengetepikan pendirian dan kepentingan parti.

Amerika Syarikat (AS) menggunakan pendekatan ini dalam menangani pandemik bagi meluluskan COVID Relief Bill, manakala United Kingdom (UK) mempunyai All Party Parliamentary Group on Coronavirus atau kumpulan ahli Parlimen rentas parti bagi menangani COVID-19

Ahli Parlimen Malaysia juga dilihat mengamalkan semangat sama apabila meluluskan Belanjawan 2021. Pendekatan bipartisan dilihat penyelesaian terbaik ketika mana polarisasi dalam kalangan parti politik memuncak dan isu yang perlu ditangani sangat kritikal.

Dalam konteks Malaysia, kini masa terbaik membudayakan amalan bipartisan. Apabila Perdana Menteri memohon mendapatkan sokongan bipartisan terhadap kepemimpinan beliau bagi meneruskan kerajaan untuk menangani pandemik, ia boleh dilihat sebagai satu batu tanda baharu dalam sejarah politik Malaysia, seandainya berjaya menjadi satu titik mula kepada politik Malaysia lebih matang yang dilaungkan rakyat dan ahli politik sendiri selama ini.

Tidak dinafikan, kompromi dan tawar-menawar dalam politik perkara biasa. Namun, penggunaan secara rasmi pendekatan bipartisan, boleh menjadi titik mula era baharu politik Malaysia yang sudah hampir ke tahap saturasi, yang menyaksikan rakyat semakin hilang kepercayaan dan harapan kepada ahli politik negara.

Satu momentum baharu amat diperlukan supaya rakyat tidak hilang terus keyakinan kepada mereka. Secara umum, ada tiga faktor kenapa ‘panggilan’ bipartisan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Pertama, seluruh dunia dilanda pandemik dan tiada negara terselamat daripada campur tangan politik dalam menangani pandemik ini.

Dalam keadaan negara di kemuncak cabaran pandemik, amat tidak wajar untuk ahli politik membenarkan kemelut sesama mereka mengambil alih perhatian daripada usaha menyelamatkan nyawa kepada usaha mengekalkan dan merebut kuasa.

Di setiap peringkat mengharapkan sepenuhnya ahli politik mengetepikan pertelagahan politik dalam menangani pandemik ini. Namun, berkali-kali seruan dan laungan gencatan politik hanya menjadi sekadar mainan di bibir.

Kemelut politik semakin getir dari hari ke hari. Apakah kita melihat pertelingkahan politik hingga ke tahap ini di negara lain? Dalam keadaan sekarang, negara amat-amat memerlukan kesediaan ahli politik untuk benar-benar bertindak dengan semangat bipartisan sebenar.

Ini bukan masa untuk mengira jumlah penyokong bagi membuktikan siapa mempunyai majoriti demi survival kuasa dan politik.

Kedua, melihat kepada tujuh perkara ditawarkan, semuanya adalah asas yang sudah lama diperjuangkan pelbagai pihak yang mengharapkan budaya politik lebih matang di Malaysia, termasuk pembangkang.

Misalnya peruntukan sama kepada semua ahli politik tidak kira kerajaan atau pembangkang dan juga pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang di Dewan Rakyat serta Ketua Pembangkang berstatus Menteri Kanan.

Ini adalah perkara asas diperlukan bagi memastikan sistem perbahasan adil yang dilaungkan setiap kali Parlimen bersidang. Maka apakah wajar untuk menolaknya mentah-mentah sekiranya ahli politik ini benar-benar mengutamakan perbahasan yang adil dan matang?

Tidak dinafikan ‘tawaran’ boleh dilihat sebagai tawaran saat akhir untuk meraih sokongan dan boleh disalah tafsir. Namun, melihat sebuah perjuangan panjang bagi membentuk sistem Parlimen dan kerajaan yang kukuh selama ini, tidak wajarkah ia diberi pertimbangan terlebih dahulu sebelum terus dilihat sebagai rasuah atau sebagainya.

Bukankah ini peluang untuk merealisasikan apa yang diperjuangkan selama ini? Perkara seterusnya iaitu had tempoh jawatan Perdana Menteri untuk dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang (RUU) lompat parti juga adalah dua perkara yang sudah lama dibincangkan. Ditambah lagi persetujuan untuk Undi 18.

Ini adalah peluang terbaik merealisasikannya dengan mengetepikan ego masing-masing dan meletakkan keutamaan jangka panjang negara sebagai pertimbangan utama.

Andainya ahli politik benar-benar meletakkan agenda melaksanakan perkara yang sudah diperjuangkan selama ini, tindak balas ditunjukkan sepatutnya adalah bagaimana mencari jalan terbaik supaya kali ini ia dapat dilaksanakan kerana ia sudah ditawarkan kerajaan.

Inilah sebenarnya manifestasi pendekatan bipartisan. Ia pasti boleh dibaca dengan pelbagai pandangan politik, tetapi yang paling utama adalah menjadikan ia realiti selepas sekian lama menjadi penghalang kepada politik yang matang di Malay- sia.

Ketiga, kemelut politik Malaysia ketika ini sudah menghampiri jalan buntu dengan tiada pihak mempunyai majoriti. Pertukaran kerajaan belum pasti menjamin keadaan politik yang lebih baik pada saat pandemik begini.

Persoalan siapakah yang berhak menjadi Perdana Menteri akan terus mewarnai politik Malaysia selagi usaha mencari penyelesaian secara jujur oleh mereka yang terbabit.

Maka, sementara itu tiada jalan selain membudayakan pendekatan bipartisan bagi mendidik parti dan ahlinya meletakkan kepentingan rakyat serta negara sebagai paling utama.

Kita amat berharap kemelut politik dapat diselesaikan segera supaya Malaysia dapat keluar secepat mungkin daripada pandemik ini.

Pendekatan bipartisan adalah momentum baharu yang wajar diberi peluang sebagai jalan keluar yang baharu.

Amat malang bagi sejarah Malaysia andainya sambutan kemerdekaan ke-64 nanti dalam keadaan politik yang kucar-kacir. Pasti ada jalan keluar andai setiap kita meletakkan kemerdekaan jiwa dan raga sebagai teras utama.

Dr Zainal Abidin Sanusi adalah Prof Madya di Jabatan Sains Politik, Pusat Pengajian Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Sumber: Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *