Kesan Geopolitik Taliban

Pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) memberi banyak catatan sejarah antarabangsa. Afghanistan menunjukkan daya ketahanan nasional yang amat tinggi terhadap penjajahan luar.

Orang Mongol tidak berjaya menyatukan wilayah tersebut kerana Afghanistan ditadbir oleh pelbagai kabilah yang berkuasa dan bermusuhan di antara satu sama lain. Ini ditambah pula dengan bentuk muka buminya yang bergunung ganang dan tandus. British juga terpaksa belajar daripada kepayahan mentadbir wilayah tersebut
Kesatuan Soviet (kini Rusia) juga menerima tamparan yang sama. Kini giliran AS dan sekutunya yang mempunyai kekuatan lebih daripada 12,000 tentera diberikan laluan keluar. Afghanistan merupakan kegagalan dasar geo-strategik kali kedua AS selepas dimalukan dalam Perang Vietnam. Ini tidak termasuk dasar campur tangannya yang gagal di Haiti, Iran, dan Iraq.

Keputusan AS untuk meninggalkan Afghanistan bermula sejak pentadbiran Trumph lagi dan diteruskan oleh Biden. Jawatankuasa Senat AS mengenai Afghanistan pada 2020 mengesyorkan agar Washington mengeluarkan tenteranya kerana pembayar cukai negara tersebut terpaksa membayar lebih AS$1 trilion sejak Oktober 2001. AS turut kehilangan AS$20 bilion akibat daripada ketidakcekapan pentadbiran dan rasuah di bawah pentadbiran Ashraf Ghani dan Hamid Karzai sebelum ini.

Ini juga menjelaskan mengapa Taliban tidak melalui laluan sukar untuk menguasai semula Kabul kerana tiada tentangan kuat daripada Pasukan Pertahanan Kebangsaan Afghanistan. AS juga merasakan kos pulangan untuk terus berada di Afghanistan tidak berbaloi.

Taliban pula telah tampil dengan imej baharu –lebih sederhana, akomodatif, dan realistik. Taliban 2.0 ini dilihat jauh berbeza dengan imej kejam, perjuangan jihad yang kental, dan ultra-radikal sebelum ini. Apabila mereka menguasai Kabul Taliban melalui jurucakapnya, Zabihullah Mujahid menawarkan dasar-dasar lebih terbuka melalui sistem tadbir-urus lebih telus dan menghormati hak wanita. Majlis Shura yang dipengerusikan Hibatullah Akhundzada malah dilaporkan membenarkan wanita untuk terus mendapat akses kepada pendidikan dan sektor sosial lainnya.

Pendekatan Taliban yang lebih realistik dan sederhana sudah tentu mengundang si­kap pesimis antarabangsa yang terbiasa dengan imej Taliban terdahulu. Antaranya sokongannya terhadap al-Qaeda.

Dalam siri rundingan Doha terdahulu, AS mengenakan syarat kepada Taliban untuk memutuskan hubungannya dengan kumpulan pengganas itu. Walaupun demikian, setakat ini tiada bukti menunjukkan kedua-duanya memutuskan hubungan secara rasmi.

Sebagai kumpulan pelajar madrasah yang memegang asas Sunnah Wa jamah, Taliban pada asalnya menga­malkan pendekatan sederhana. Namun kerjasama strategiknya dengan Salafi-jihadi al-Qaeda yang diketuai oleh Osama Ben-Laden dan pemimpin Arab lain mempengaruhi pendekatan Taliban.

Taliban juga pada ketika itu diketuai dan dianggotai pemimpin muda dari madra­sah yang mempunyai idealisme tinggi. Tidak hairanlah pentadbiran mereka begitu keras dan kadangkala mencalar imej Islam itu sendiri. Namun pemimpin Taliban telah matang melalui pengalaman mereka. Oleh itu, pendekatan terbaharu kerajaan Taliban masa kini adalah refleksi kepada kematangan politik yang mereka lalui.

Taliban juga, seperti mana al-Qaeda, menolak perjuangan takfiri ISIS atau Daesh. Bagi mereka Daesh telah memesongkan fahaman pengikut mereka mengenai Islam terutamanya dalam konteks jihad.

Keupayaan Taliban mentadbir semula bumi Afghanistan boleh memberi kesan kepada geopolitik rantau dan antarabangsa. Pertama, keyakinan kepada perubahan Taliban masih belum diyakini.

Keadaan politik Afghanistan yang masih samar menyebabkan kebanjiran keluar rakyat Afghanistan. Kebanyakan mereka takut akan dihukum rejim Taliban yang berkuasa.
Keadaan ini mewujudkan konflik kemanusiaan apabila ribuan rakyat Afghanistan menjadi pelarian cuba merentasi negara jiran seperti Iran, Pakistan, Tajkistan, Turkmistan, dan Uzbekistan.

Kedua, Pakistan antara negara jiran yang paling terjejas dengan perkembangan politik terbaharu Afghanistan. Ribuan pelarian Afghanistan berkampung di sepanjang sempadan dua negara. Hubungan etnik Pashtun dua negara akan lebih menyu­karkan Pakistan untuk meno­lak kebanjiran pelarian tersebut.

Ketiga, wujud juga kebimbangan kerajaan negara jiran seperti Uzbekistan dan Tajkistan mengenai tindak balas kerajaan Taliban terhadap mereka.

Kedua-dua negara sebelum ini bukan sahaja rakan sekutu serantau AS dalam Perang Global Terhadap Keganasan (GWOT) dengan menyasarkan al-Qaeda dan Taliban tetapi juga menyediakan bantuan logistik kepada Washington dan NATO pada ketika itu.

Bagi India, kejayaan Taliban memberi kesan mendalam dalam konflik wilayah Kashmir. Taliban sebelum ini secara terbuka menyokong perjuangan kumpulan pemisah yang juga dibantu pasukan perkhidmatan rahsia Pakistan. Taliban dilaporkan memberikan mesej kepada kumpulan pemisah untuk memberikan bantuan kepada Muslim Kashmir menyingkirkan kaum Hindu.

Bagi India, kumpulan pemberontak ini akan mendapat semangat baharu melalui beberapa bantuan yang akan disalurkan oleh pemerintah Taliban. Ini boleh mengeruhkan lagi kestabilan geopolitik Asia selatan akibat campur tangan luar.

China juga dilihat sebagai aktor penting. Negara kuasa besar dunia ini bukan sahaja mempunyai sempadan kecil dengan Afghanistan tetapi juga cuba mengembangkan pengaruhnya di Asia selatan. Selain Pakistan, Afghanistan boleh menjadi sekutu utamanya.

Akhir sekali, kebimbangan juga wujud mengenai impak kejayaan Taliban kepada ke­se­lamatan global. Siri uca­pan tahniah daripada be­berapa pemimpin pemisah dan peng­ganas antarabangsa dilihat sebagai suntikan baharu kepa­da perjuangan politik mereka.

Di Asia Tenggara misalnya, wujud kebimbangan mengenai semangat baharu kumpulan pengganas serantau seperti Abu Sayyaf, Mujahidin Indonesia Timur, dan Darul Islam.

Persoalannya, adakah Taliban akan menyediakan tempat selamat atau pusat latihan ketenteraan kepada kumpulan yang dilabelkan sebagai pengganas seperti mana dilakukan sebelum ini?

Washington secara jelas melalui siri perundingan memberi amaran sebelum ini, kuasa besar itu dan sekutunya tidak akan teragak-agak untuk melancarkan semula serangan jika terbukti Afghanistan dijadikan semula sebagai pusat aktiviti keganasan antarabangsa.

DR. KAMARULNIZAM ABDULLAH ialah Felo Kanan di Institut Hal-Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), UUM, dan Timbalan Presiden Pertubuhan Cendekiawan Negara.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *