“Masa Itu Emas”

KECOH di seluruh negara apabila pingat emas jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli ditarik balik pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Masakan tidak kecoh, Ziyad adalah atlet harapan kita untuk meraih emas, dan ditambah pula lontarannya telah memecahkan rekod dunia. Namun kegembiraan yang dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia pada Hari Kemerdekaan diragut dalam sekelip mata apabila berlaku protes dan kesudahannya emas ditarik balik.

Seperti yang sedia maklum kelewatan juara bertahan itu memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan telah menjadi punca kemenangannya dibatalkan.

Dalam hal ini kita tidak wajar marah pada kem Ukraine yang melakukan protes bukan saja ke atas Ziyad tetapi turut protes ke atas dua orang atlet lain lagi atas kesalahan yang sama. Apa yang pasti kem Ukraine hanya bertindak mengikut peraturan yang sedia ada, bahkan mereka telahpun melakukan protes sebelum pertandingan bermula dan bukannya selepas Ziyad menang emas.

Justeru kita perlu berlaku adil kepada kem Ukraine dan tidak wajar segelintir netizen yang mengecam atlet Ukraine terbabit di media sosial. Malah kedutaan Ukraine di Malaysia juga dilaporkan menjadi mangsa serangan netizen sehingga mereka terpaksa menutup sementara laman rasmi Facebook.

Pada peringkat ini penulis tidak berminat untuk menuding jari menyalahkan mana-mana pihak dalam insiden ini. Biarlah kita tunggu pihak berkaitan melakukan siasatan terperinci dahulu sebelum kita menjatuhkan hukuman siapa yang wajar memikul tanggungjawab terhadap insiden yang berlaku ini.

Pada masa yang sama kita juga tetap berbangga kerana walaupun kemenangannya dibatalkan, Ziyad sememangnya seorang atlet yang bertaraf antarabangsa dan layak memecahkan rekod dunia serta merangkul emas. Persembahan di Tokyo membuktikan kehebatan Ziyad yang berada dalam kelasnya tersendiri.

Namun ada perkara yang lebih penting yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak di sebalik insiden ini, iaitu budaya tidak menepati masa yang umpama sudah menjadi amlaan yang lazim dalam kalangan anggota masyarakat. Tuntasnya, apa yang berlaku benar-benar telah membuktikan analogi betapa masa itu adalah emas. Secara umumnya ramai anggota masyarakat kita ada masalah untuk menepati dan mematuhi masa.

Dalam konteks ini kita juga perlu sedar bahawa budaya tidak menepati masa tidak ada sebarang kaitan dengan kaum tertentu sebaliknya itu adalah masalah membabitkan sikap dan tingkah laku seseorang individu. Justeru jangan pula kita kaitkan sikap individu dengan imej mahupun identiti kaum tertentu.

Ironinya, terlalu banyak contoh yang boleh kita ketengahkan bila merujuk kepada budaya tidak menepati masa yang sebenarnya cukup kritikal dalam kalangan anggota masyarakat kita. Misalnya, cukup jarang kita dapat memulakan sesuatu mesyuarat mahupun program tepat pada masanya kerana ahli mesyuarat, peserta program dan juga tetamu kehormat sendiri sudah terbiasa datang lewat.

Budaya menepati dan menghargai masa sebenarnya adalah satu amalan yang cukup terpuji malah sangat dituntut dalam agama Islam. Misalnya, dalam Surah al-Asr, Allah SWT berfirman: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah al-Asr 103:1-3).

Budaya menepati masa juga menjadi amalan penting yang membentuk disiplin diri bangsa yang maju seperti orang Jepun dan Korea yang sangat mementingkan ketepatan masa dalam kehidupan seharian mereka. Penulis sendiri pernah membaca sebuah artikel tentang kepentingan masa kepada masyarakat Jepun, di mana bagi mereka jika kita hadir tepat pada masa untuk sesuatu perjumpaan itu sudah dianggap lewat. Ini bermaksud kita perlu hadir lebih awal dari masa yang ditetapkan. Begitulah budaya orang Jepun, bangsa yang sangat dikenali dengan ketepatan masa.

Jadi semua pihak wajar mengambil iktibar dengan apa yang menimpa Ziyad ini. Insiden tragis ini merupakan satu contoh nyata kenapa menepati masa itu sangat mustahak. Terlalu besar harga yang perlu dibayar hanya kerana terlewat beberapa minit, antaranya pingat emas ditarik balik, rekod dunia tidak diiktiraf, Negaraku tidak berkumandang, Jalur Gemilang tidak berkibar megah di pentas podium, malah Ziyad secara peribadi terlepas ganjaran sebanyak RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik selain RM20,000 kerana berjaya memecahkan rekod dunia dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.

Diharap Ziyad tidak kecewa mahupun berputus asa, sebaliknya bangkitlah membuktikan kepada semua betapa Ziyad layak bergelar juara dunia dalam kejohanan yang akan datang. Semoga pihak pengurusan atlet akan lebih prihatin dan teliti tentang perkara teknikal seperti ini.

Tuntasnya, kalau kita mahu menjadi sebuah negara bangsa yang maju dalam apa jua bidang, terapkan dan disiplinkanlah diri kita dengan amalan dan budaya menepati masa sepanjang waktu. Hargai masa kita dan juga hormati masa orang lain.

Noor Mohamad Shakil Hameed
Penganalisis isu semasa

Leave a Comment

Your email address will not be published.