DARURAT AGENDA UNTUK SIAPA?

PROKLAMASI Darurat oleh Yang Di-Pertuan Agong pada 13 Januari lalu sehingga 1 Ogos 2021 telah menimbulkan pelbagai perbahasan, polemik dan tuduhan mengenai keperluan melaksanakan Perkara 150 Perlembagaan.

Sebahagian rakyat yang marah mungkin salah faham mengenai darurat sebagai satu pemerintahan tentera membabitkan perintah berkurung, tangkapan tanpa undang-undang awam, menyekat kebebasan mereka bekerja, bergerak dan bersosialisasi.

Bagaimanapun dalam pengumuman yang dibuat oleh kerajaan jelas Darurat ini masih mengekalkan pemerintahan awam. Badan eksekutif masih kekal menguruskan pentadbiran, undang-undang awam dan mahkamah berfungsi seperti biasa.

Malahan sektor ekonomi, perniagaan dan kewangan berjalan seperti biasa hanya tertakluk kepada peraturan dan amalan pengurusan (SOP) yang telah pun diterima
pakai dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PK). Pada hemat saya ada dua faktor mengapa YDP Agong bersetuju mengisytiharkan Darurat.

Faktor pertama dan terpenting ialah usaha menentang pandemik koronavirus (Covid-19) telah sampai ke tahap yang memerlukan tindakan lebih drastik dan serius. Dengan pengisytiharan Darurat, YDP Agong boleh meluluskan ordinan-ordinan tertentu bagi meningkatkan usaha mencegah penularan dan perawatan pesakit Covid-19 dilakukan secara berkesan.

Situasi pandemik dalam negara agak kritikal ketika ini. Kita mempunyai kes positif Covid-19 antara 2 ribu – 3 ribu orang sehari. Jumlah pesakit yang pulih setiap hari pula antara 750-1500 orang. Dalam masa yang sama kadar kebolehjangkitan juga meningkat kepada 1.2 Dalam keadaan negara mencatatkan kes positif Covid-19 sehingga 3,000 orang sehari, fasiliti kesihatan awam telah hampir digunakan sepenuhnya.

Pilihan yang ada ialah menggunakan fasiliti kesihatan swasta dan tentera sebagai pelan sokongan. Bagaimanapun melalui undang-undang awam atau sivil, tiada kuasa untuk memaksa hopsital swasta menerima dan merawat pesakit Covid-19. Dalam perintah Darurat sekarang, kerajaan boleh mengambil alih fasiliti kesihatan swasta dengan pampasan tertentu bagi tujuan merawat pesakit yang positif Covid-19.

Darurat juga akan membolehkan proses penguatkusaan perintah kawalan pergerakan dapat diperketatkan. Anggota polis sahaja tidak cukup untuk mengawal dan menguatkuasa larangan pergerakan. Sebahagian masih perlu menjalankan tugas siasatan kes-kes jenayah dan trafik.

Tanpa proklamasi Darurat, anggota tentera tidak boleh boleh melakukan tangkapan ke atas orang awam dan mendakwa mereka di mahkamah awam. Kini kerajaan boleh mendapatkan bantuan tentera untuk menguatkuasa undang-undang dan ordinan yang diluluskan.

Justeru pilihan Yang Di Pertuan Agong sangat tepat. Dengan mengisytihar darurat Baginda dapat memastikan usaha mengawal penularan Covid-19 ini dapat diperkasakan dan sistem politik negara dapat distabilkan buat sementara waktu.

Seperti mana janji Perdana Menteri untuk mengadakan PRU selepas tamat darurat, semua pihak perlulah bersabar dan memberi tumpuan kepada usaha melawan pandemik Covid-19 dan ʻmengisi perut’ rakyat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *