Apa Itu ‘Confidence Supply Agreement’ (CSA)?

Kemelut politik yang berlaku ketika ini amat mendukacitakan rakyat sehingga ada analisis dan dakwaan yang dibuat bahawa Belanjawan 2021 berhadapan dengan risiko tinggi untuk ditolak ahli parlimen sebagai ‘mesej’ undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Untuk mengatasi risiko ini, rakyat dan pemimpin masyarakat mencadangkan Perdana Menteri dan pihak pembangkang membuat Confidence Supply Agreement (CSA) dengan untuk meluluskan Belanjawan 2021 dan usul kerajaan.

Apa itu CSA?

Secara mudahnya, CSA merupakan kesepakatan atau konsensus bahawa ahli parlimen pembangkang tidak menolak belanjawan kerajaan dan mengusulkan undi tidak percaya kepada kerajaan. Sebagai balasan, Perdana Menteri perlu memberi peluang dan akses kepada pembangkang mencadangkan sesuatu dasar dalam belanjawan kerajaan.

Kaedah CSA ini pernah dilakukan di parlimen Britain. Selalunya kerajaan minoriti, iaitu kerajaan yang mempunyai sokongan ahli parlimen yang tipis berbanding pembangkang, perlu melakukan CSA bagi mengelak kekalahan dalam meluluskan belanjawan negara dan usul kerajaan di parlimen.

Maksud “Supply” dan “Confidence”

Confidence (Percaya): Undi percaya atau tidak percaya kepada kerajaan di parlimen. Jika kerajaan tidak mendapat undian majoriti dalam undi tidak percaya dan sokongan rendah ketika undi percaya, maka kerajaan akan dibubarkan.

Supply (Perbekalan) : Merujuk kepada belanjawan kerajaan. Jika kerajaan gagal meyakinkan parlimen meluluskan belanjawan, ia tanda kerajaan hilang kepercayaan untuk mentadbir dan perlu dibubarkan.

Mengapa CSA diperlukan sekarang?

Meluluskan Belanjawan 2021. Jumlah ahli parlimen kerajaan (113 orang) dan pembangkang (108 orang selepas kematian Datuk VK Liew) tidak jauh beza. Jika terdapat 5 orang ahli parlimen kerajaan menolak Belanjawan ini, maka kerajaan tidak stabil dan boleh menyebabkan Belanjawan 2021 tidak diluluskan parlimen.

Untuk memastikan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang dalam menghadapi waktu sukar ketika Covid-19. Kerajaan perlu terbuka dan berlapang dada melibatkan pembangkang dalam merangka dasar dan Belanjawan 2021 untuk rakyat.

Jika Belanjawan negara jika tidak diluluskan oleh parlimen, ia akan memberi impak yang besar kepada rakyat dan ekonomi. Ini bermaksud kerajaan tidak mempunyai dana untuk meneruskan program rakyat dan operasi pentadbiran awam akan ditutup. Ini satu malapetaka besar buat Malaysia yang kini berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19.

Adakah CSA bermaksud kerajaan tidak melalui semak dan imbang?

Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan menegaskan jemaah menteri perlu bertanggungjawab kepada parlimen. Oleh itu, walaupun CSA dicapai kedua-dua belah pihak, menteri kabinet tidak boleh lari daripada semak dan imbang parlimen.
Setiap Peruntukan Kementerian akan dibahaskan satu persatu oleh ahli parlimen. Maka, peruntukan kesemua 28 kementerian dan empat portfolio dibawah Jabatan Perdana Menteri kerajaan PN perlu dibahas oleh ahli parlimen.
Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada parlimen untuk meluluskan kewangan dan perbelanjaan negara berdasarkan Perkara 99, 100, 101 dan 102. Jadi tugas parlimen adalah menyemak Belanjawan 2021 yang disediakan kerajaan. Jika belanjawan kerajaan mempunyai kelemahan, ahli parlimen bertanggungjawab untuk mengkritik dan menolak belanjawan tersebut.

Berapa lama CSA ini dipersetujui?

Tiada had masa yang ditetapkan dalam CSA. Ia hanyalah persetujuan atas kepentingan dasar dan isu yang dibawa oleh kedua-dua belah pihak.

Jika kerajaan enggan berunding sesuatu dasar dengan pembangkang, maka ahli parlimen pembangkang boleh menarik balik perjanjian CSA yang telah dipersetuji.

Pernahkah wujud kerjasama kerajaan – pembangkang?

Pada 26 Julai 2019, pindaan perlembagaan persekutuan menurunkan had umur pengundi 18 tahun telah diluluskan parlimen dengan mendapat majoriti dua pertiga wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang. Seramai 221 orang ahli parlimen daripada 222 menyokong pindaan ini.

Pindaan ini mendapat sokongan pembangkang ketika itu (BN/PAS/GPS) setelah pihak kerajaan Pakatan Harapan bersetuju untuk menerima cadangan mereka iaitu:

Pendaftaran pengundi secara automatik kepada warganegara yang berusia 18 tahun ke atas
Menurunkan hak kelayakan menjadi calon pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun, selari dengan pindaan Perkara 119 (1).

Langkah memulakan CSA

Menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen Belanjawan

Mewujudkan Jawatankuasa Khas Parlimen yang terdiri daripada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk berunding dan mencadangkan perkara penting yang perlu menjadi sebahagian Belanjawan 2021.

Organisasi dan masyarakat sivil perlu diberi peluang untuk dilibatkan dalam proses ini agar cadangan mereka juga diambil dalam Belanjawan 2021.

Membentangkan Laporan Prabelanjawan (Pre-Budget)

Pra Belanjawan merupakan dokumen yang mengandungi maklumat tentang kedudukan semasa perbelanjaan dan ekonomi negara, dasar dan hala tuju ekonomi kerajaan dalam Belanjawan 2021. Ia juga perlu menyatakan fokus utama kerajaan dalam sesuatu sektor dan program yang dianggap penting untuk pembangunan negara.

Maklumat yang disediakan dalam prabelanjawan boleh dianalisis oleh pembangkang lebih awal dan membantu mereka menyediakan rangka cadangan yang akan dikemukakan kepada kerajaan dalam Belanjawan 2021.

Konsultasi sebelum meminda Rang Undang-Undang

Untuk memberi ruang kepada pembangkang, kerajaan perlu melakukan perjumpaan minggu rasmi dengan pihak pembangkang untuk membincangkan dasar atau pindaan RUU yang akan dibawa oleh kerajaan di parlimen.

Perjumpaan ini bukanlah taklimat satu hala yang biasa dilaksanakan oleh pegawai kerajaan menerangkan pindaan kepada ahli parlimen, tetapi ia perjumpaan yang memberi peluang ahli parlimen pembangkang meminda RUU kerajaan.

Mantan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard telah mengadakan perjumpaan minggu bersama parti yang mendantangani CSA ketika persidangan parlimen. Perjumpaan ini membenarkan pihak pembangkang mencadang, berunding atau menambah baik RUU tersebut sebelum dibahas atau diundi dalam parlimen.

Fakhrurrazi Rashid merupakan Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA), badan pemikir progresif yang mempercayai Malaysia yang lebih baik. Artikel ini pertama kali diterbitkan dalam Refsa

Negara yang pernah melakukan CSA

NoNegaraCSA Kerajaan –  Pembangkang
1.Australia2010 – 2013[2]Kerajaan parti Buruh (Labour party) membuat CSA dengan ahli parlimen bebas dan Parti Hijau di parlimen Australia. 
2.Sweden1998 – 2006Kerajaan minoriti Sosial Demokrasi bekerjasama dengan Parti Hijau (Green Party) selama 8 tahun. 
3.India1998 – 1996Third Front yang membentuk kerajaan minoriti telah membuat CSA bersama ahli parlimen pembangkang daripada Parti Bharatiya Janata dan Parti Kongres dalam Lok Shaba.
4.New Zealand2017  – 2020[3]Parti Buruh dapat membentuk kerajaan dengan melakukan CSA dengan Parti Hijau.
5.Britain 2017 – 2018Kerajaan Parti Konservatif mendapat sokongan parlimen daripada Parti Kesatuan Demokratik (DPU) di House of Commons. DPU menarik balik sokongan kepada kerajaan Konservatif kerana tidak bersetuju dengan Brexit.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *