Bangunkan Semula Pendidikan, Elak Sistem ‘Pukul Rata’

Pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada sistem pendidikan Malaysia, dengan sekolah ditutup bagi tempoh yang panjang.

Menurut laman pemantauan UNESCO, Malaysia dalam kalangan negara paling lama menutup sekolah. Walaupun secara rasminya pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) tetap berjalan, keberkesanannya sangat minimum.

Di samping masalah ketiadaan gajet dan talian internet, ramai murid tidak mempunyai suasana pembelajaran kondusif di rumah. Tidak semua murid mempunyai kemewahan bilik belajar, hatta ruang atau meja belajar sendiri.

Tidak hairanlah kajian menunjukkan purata 80 peratus murid hadir dalam PdPR, itu pun dalam kadar keberkesanan berbeza. Akibatnya, terhasil kini generasi tersisih daripada menjalani pendidikan formal.

Mereka kehilangan peluang belajar yang sempurna. Sebahagian langsung tidak menjalani apa-apa pembelajaran dalam tempoh pandemik ini. UNESCO menamakan mereka ‘the lost generation’ atau generasi yang hilang.

Kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) terhadap keluarga miskin bandar di Lembah Klang mendapati jumlah pelajar yang kembali ke sekolah menurun ketika ia dibuka semula Julai tahun lalu.

Tinjauan itu mendapati hampir satu per lima pelajar daripada 500 keluarga hilang minat untuk bersekolah semula sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, dengan tujuh peratus p elajar sekolah menengah memilih tidak kembali ke sekolah.

Jumlah ini dijangka meningkat tahun ini selepas lebih 500 hari tempoh di rumah.

Fenomena ini akan memberi kesan jangka panjang kepada pembinaan intelektual, jasmani, rohani dan emosi murid, sekali gus merencatkan pembangunan sahsiah, jati diri dan kesediaan mereka menghadapi masa depan.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan pembukaan sekolah untuk pembelajaran bersemuka secara berperingkat mulai 1 September, bermula kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Setakat ini, pengumuman tidak diiringi apa-apa dasar, rancangan atau garis panduan untuk memastikan bukan saja institusi pendidikan boleh dibuka dengan selamat, tetapi memberi gambaran bagaimana pendidikan generasi tersisih yang hilang ini boleh dibangunkan semula secara menyeluruh.

Dengan beberapa minggu berbaki, KPM belum mengadakan apa-apa sesi libat urus bersama pihak sekolah, ibu bapa dan pemegang taruh lain.

Ini menimbulkan kegusaran kerana hampir semua tindakan dan keputusan KPM sebelum ini bersifat spontan, tanpa didasari perancangan menyeluruh dengan kaedah serta kriteria jelas.

Kali ini juga, KPM tidak menunjukkan perancangan terperinci dengan pelan alternatif sekiranya pandemik berterusan.

Jika diteliti, kini banyak garis panduan dan rancangan pembangunan semula pendidikan pasca COVID-19 diterbitkan organisasi antarabangsa seperti UNESCO, UNICEF, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Bank Dunia dan lain-lain.

Banyak rancangan dan garis panduan bersifat terperinci menggariskan tindakan perlu diambil di peringkat kerajaan Pusat, pengurusan pendidikan di lokaliti dan sekolah.

Alternatif dan kriteria diberikan dengan jelas untuk menghadapi pelbagai kemungkinan, semuanya dalam rangka memastikan pendidikan tetap berjalan dalam apa jua keadaan.

Cara membuat pemulihan pendidikan juga jelas dibutirkan. Kita hanya perlu mengambil dokumen ini dan menyesuaikannya dengan keadaan negara kita.

Disarankan KPM menyediakan rancangan dan dasar jelas mengenai pembangunan semula pendidikan Malaysia. Bukan sekadar pembukaan semula institusi pendidikan, tetapi juga membabitkan rancangan jangka panjang dan pendek bagi membangunkan semula pendidikan negara.

Rancangan alternatif diperlukan untuk jangka pendek bagi pembukaan September depan dan rancangan alternatif jangka panjang bagi kelangsungan pendidikan serta industri pendidikan untuk 2022 dan seterusnya.

Pelan tindakan ini juga tidak boleh lagi bersifat ‘blanket’ (pukul rata) tanpa mengambil kira kepelbagaian jenis sekolah, lokasi, saiz sekolah dan tahap jangkitan COVID-19 di lokaliti berkenaan.

Rancangan dan dasar berkenaan perlu mengambil kira kepelbagaian yang wujud serta kemungkinan COVID-19 akan menjadi endemik dalam negara.

Semoga rancangan dan dasar sedemikian dapat merealisasikan hasrat memberi keutamaan kepada pembinaan semula sistem pendidikan negara.

Omar adalah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), manakala Zaliza adalah Pengasas GAINS Education Group

Sumber: Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *