Urus Hutan Demi Generasi Masa Depan

MALAYSIA diiktiraf negara biodiversiti mega dengan kedudukan ke-12 berdasarkan Indeks Biodiversiti Kebangsaan.

Negara kita memiliki hutan tropika dan habitat biodiversiti kritikal, berperanan penting dalam kawalan suhu setempat, mengurangkan kesan perubahan iklim, mengawal hakisan, jaminan bekalan makanan serta pembekalan udara dan air bersih untuk kehidupan seharian.

Pada Sidang Kemuncak Bumi 1992 di Rio, Malaysia menyatakan komitmen mengekalkan sekurang-kurangnya separuh daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan litupan hutan.

Sejak 2016, sebanyak 1,859 hektar kawasan terkesan di seluruh negara melalui proses penghutanan semula. Hari ini, 55.3 peratus atau 18.27 juta hektar daripada kawasan tanah negara ialah kawasan litupan hutan, lebih tinggi daripada negara seperti United Kingdom (UK), Perancis dan Kanada.

Selain landskap dan hidupan liar mengagumkan, sumbangan hutan kepada masyarakat sangat bernilai dan tiada galang gantinya. Hutan asas bagi kehidupan Orang Asli dan masyarakat setempat sebagai sumber rezeki serta kelangsungan hidup.

Sektor perhutanan kunci dalam memacu agenda ekonomi hijau. Hutan juga sumber tenaga boleh diperbaharui yang dapat diurus secara mampan. Hal ini terbukti berdasarkan peruntukan RM100 juta bagi pemuliharaan alam sekitar dalam Belanjawan 2021.

Sebagai negara membangun, Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dalam pemeliharaan hutan. Fragmentasi hutan lama dikenal pasti ancaman serius terhadap pemuliharaan hutan dan perlindungan biodiversiti. Ini amat membimbangkan dan berpotensi membawa kesan besar kepada kesejahteraan manusia.

Menyedari kepentingan menghubungkan semula habitat semula jadi berskala besar, kerajaan membangunkan Pelan Induk Central Forest Spine (CFS-MP) pada 2009 bagi menghubungkan kawasan hutan terpisah melalui rangkaian koridor ekologi.

Sebagai sokongan kepada CFS-MP, projek Improving Connectivity: Central Forest Spine (IC-CFS) dilancarkan pada 2014 bagi memulihara biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem di landskap hutan utama.

Diterajui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), projek ini usaha sama antara kerajaan Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi memperkukuh kemampuan institusi dan merintis rancangan pengurusan landskap hutan yang mampan di tiga landskap keutamaan harimau.

Hutan di landskap CFS membekalkan sekurang-kurangnya 90 peratus bekalan air dan menjadi habitat populasi harimau Malaya dan gajah yang tinggal.

Sehingga kini, habitat seluas 609 hektar di koridor ekologi berjaya dipulihkan dan dipelihara. Sebanyak 23,735 hektar tanah negeri dalam koridor ekologi diwartakan dan diisytiharkan hutan simpan kekal (HSK).

Pengurusan hutan mampan dipraktikkan di Malaysia lebih seabad. Ia konsep tunjang di bawah Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) oleh UNDP. Pengurusan hutan yang mampan merujuk ‘konsep dinamik yang bertujuan mengekal dan meningkatkan nilai ekonomi, sosial serta persekitaran bagi semua jenis hutan untuk memberi manfaat kepada generasi kini dan masa depan’.

Pada Mac lalu, kerajaan memperkenalkan Dasar Perhutanan Malaysia yang baharu dengan garis panduan jelas bagi sektor perhutanan dalam menghadapi cabaran pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Dasar inklusif ini mengambil kira kepentingan Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam mencapai pembangunan dan pengurusan hutan yang mampan.

Projek pemuliharaan seperti CFS dan IC-CFS jelas sejajar Dasar Perhutanan Malaysia dan aspirasi negara bagi memulihara dan mengekalkan kekayaan serta kelestarian ekosistem hutan yang bukan saja memenuhi kepentingan ekonomi, malah kepentingan ekologi dan persekitaran sekeliling.

Kita tidak boleh memandang remeh khazanah semula jadi negara. Melalui pelaburan jangka panjang di sektor perhutanan dan pembangunan dasar yang komprehensif, kita dapat memastikan kelestarian manfaat hutan untuk generasi masa hadapan.

Datuk Zahari Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *