Taman Ismail Marzuki: Dari Kebun Binatang ke Pusat Seni Moden

Sejak sebelum kemerdekaan Indonesia lagi, Pusat Kesenian Jakarta (PKJ) Taman Ismail Marzuki (TIM) di Jalan Cikini Raya, Jakarta Pusat pada awalnya terkenal sebagai taman peliharaan haiwan. Lebih tepat, sekitar tahun 1864, iaitu pada zaman penjajahan Belanda.

Ia adalah usaha yang dimulakan oleh Raden Saleh, seorang pelukis kelahiran Semarang yang akhirnya menempatkan haiwan seperti gajah, harimau sehinggalah zirafah.

Haiwan-haiwan ini pada mulanya merupakan sumber inspirasi beliau untuk berkarya. Dengan minat yang ditunjukkan oleh warga setempat, beliau akhirnya membuka “koleksi peribadi” nya itu untuk tatapan awam.

Setelah meninggal dunia, Raden Saleh telah menghadiahkan seluruh aset, termasuk tanah seluas 10 hektar kepada kerajaan Indonesia. 100 tahun kemudian, iaitu pada 1964, Taman Raden Saleh telah ditukar namanya sebagai Kebun Binatang Cikini. Berikutan lokasi yang sangat hampir dengan kesibukan kota Jakarta, ia telah dipindahkan ke Ragunan.

Keluhan seniman-seniman Jakarta yang mendakwa berkurangnya pusat kesenian dan kebudayaan untuk mereka berkarya, atau mempamerkan hasil karya mendapat perhatian kerajaan Indonesia, apabila Gabenor Ali Sadikin, pada 1968 merasmikan pusat kesenian dan kebudayaan yang diberi nama Taman Ismail Marzuki dengan keluasan 70 hektar di Jalan Cikini Raya Nomor 73 sekaligus mengekalkan fungsi ‘kediaman seniman’ sejak zaman Raden Saleh.

Taman itu diberi nama sempena dengan nama Ismail Marzuki, seorang seniman Betawi dan juga tokoh penciptaan lagu-lagu partriotik seperti ‘Rayuan Pulau Kelapa’ dan ‘Sepasang Mata Bola’.

Seiring waktu, fungsi asal taman ini semakin terhakis. Keadaan fizikal bangunan juga semakin usang, dan tidak mampu untuk menampung acara-acara seni bertaraf antarabangsa.

Pembinaan Semula TIM

Pada 2019, Anies Baswedan, Gabenor Jakarta telah meluluskan dana sebanyak 1.8 trilion rupiah dalam usaha untuk membina semula pusat kesenian tersebut. Ini adalah usaha yang tepat, memandang keadaan bangunan-bangunan yang sedia ada tidak mampu lagi beroperasi pada tahap maksima.

Meskipun dibelenggu pandemik Covid-19, projek ini terus berjalan samada pembinaan bangunan baru, atau kerja-kerja menaiktaraf bangunan sedia ada. Perlaksanaan projek dilakukan dalam dua fasa; dengan fasa pertama meliputi pembangunan Masjid Amir Hamzah, Gedung Parkir dan Gedung Panjang.

Sementara tahap kedua, ia meliputi Planetarium dan Pusat Latihan Seni, Graha Bhakti Budaya, Galeri Annex dan Teater Halaman.

Berbeza dari sebelumnya, wajah baru TIM lebih ‘futuristic’ dan moden, namun masih lagi mengekalkan sifat mesra pengguna.

Arkiteknya, Andra Martin menjelaskan bahawa kawasan hijau terbuka lebih luas, iaitu sebanyak 27 persen berbanding 11 persen sebelumnya akan memberikan perbezaan yang ketara. Dengan terbinanya taman di ‘rooftop’ Gedung Parkir, ia akan menjadi tempat orang awam atau warga seni untuk berinteraksi antara satu dengan yang lain.

Gedung Panjang juga tidak kurang hebatnya, dengan rekabentuk seperti bentuk muka bumi bertingkat-tingkat di kawasan tanaman tanah tinggi. Ia bakal memuatkan banyak fungsi seperti Galeri Seni, Perpustakaan, Pusat Dokumentasi Sastra (PDS) HB Jassin, Wisma Seni, Ruang Komite Seni dan Kantor Pengelola TIM.

Gedung Panjang dibina dengan senireka dan senibentuk dengan mengambil semangat atau roh karya Ismail Marzuki. Not muzik ‘Rayuan Pulau Kelapa’ diambil sebagai ilham rekabentuk bangunan. Tinggi rendah rekabentuknya akan membantu jumlah kemasukan cahaya matahari bagi memberi pencahayaan yang sempurna ke dalam Perpustakaan.

Senireka berunsurkan pola batik Betawi akan menjadi teras ke seluruh bangunan, seperti di Graha Bhakti Budaya dan Planetarium, sebagai tanda penghargaan kepada Ismail Marzuki.

Meskipun moden, projek pembangunan semula TIM akan mengekalkan ciri-ciri khas bangunan lama seperti kubah pada Planetarium. Planetarium yang direkabentuk oleh Ciputra ini berstatus ‘Cagar Budaya’. Ia akan dibaikpulih, di samping pembinaan bangunan-bangunan baru di sekelilingnya.

Pada ketika ini, pembinaan semula TIM secara keseluruhannya telah mencapai tahap 68.86 persen dan berjalan mengikut jadual. Meskipun tahap 1 telah siap sepenuhnya, Taman Ismail Marzuki hanya akan dirasmikan pada akhir 2021.

Barometer Seni

Pada peringkat awal, idea untuk membangunkan semula TIM dikritik hebat oleh ramai termasuk orang seni sendiri. Walau bagaimanapun, ia diyakini mampu untuk menjadi wadah seni dan kreativiti seterusnya menjadi kayu pengukur kepada tahap kesenian Indonesia.

Veteran seni seperti Ketua Lembaga Sertifikasi Kreator Filem dan Televisi, Embie C. Noer memberi penghargaan kepada TIM yang mewujudkan kembali fasiliti lama yang telah hilang ditelan zaman seperti Teater Halaman, Teater Arena dan Wisma Seni.

Teater Halaman dan Teater Arena akan menjadi wadah seni pertunjukan di TIM, selain Gedung Teater Jakarta yang sedia ada.

Selain itu, Graha Bhakti Budaya akan dilengkapi dengan sistem pencahayaan, sistem bunyi dan akustik yang bertaraf antarabangsa, dengan kerjasama konsultan dari luar negara.

Wisma Seni pula bertujuan menyediakan tempat untuk para anak seni untuk beristirehat, di samping menyediakan ruang tidur bertingkat (bunk-bed). Dengan konsep ‘mesra dan kebersamaan’, ia bakal menjadi tempat untuk anak seni berdiskusi dan bertukar pendapat, sementara menganjurkan sebarang acara di TIM.

Berperanan sebagai kayu pengukur karya seni di Indonesia, semua hasil seni, baik senilakon, muzik dan senilukis perlu melalui proses tapisan yang teliti terlebih dahulu sebelum dipersembahkan, atau dipamerkan.

Semua warga seni di Indonesia kini bakal mempunyai tempat berprestij untuk mempamerkan hasil seni mereka.

Dengan seluruh kerja-kerja baikpulih mahupun pembinaan yang sedang berjalan, TIM diharapkan akan menjadi pusat seni yang lengkap untuk segala aktiviti seni, samada dari proses penghasilan karya ataupun pertunjukan.

TIM bakal beroperasi sebagai makmal, pusat pameran dan pertunjukan seni, sekaligus mencipta penanda aras tahap kesenian Indonesia.

Selaras dengan cita-cita Gabenor Ali Sadikin, Jakarta tidak hanya akan tertumpu menjadi pusat komersial, pentadbiran negara atau pusat kegiatan politik semata-mata, malah Jakarta juga mampu menjadi pusat seni atau kota budaya. Apatah lagi kesenian Indonesia bermula dan berkembang dari anak-anak seni Jakarta.

Sumber: Antara News

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *