PUTRAJAYA, 20 Disember 2021 – Sekumpulan pakar ekonomi yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali telah menggariskan lapan (8) agenda perubahan dalam dokumen Resetting Malaysia: Aligning to The New Economic Landscape, untuk dipertimbangkan oleh kerajaan, sebagai teras strategik untuk memacu transformasi ekonomi negara bertepatan dengan lanskap ekonomi baharu pasca-krisis Covid-19.
Ia merangkumi aspek pendigitalan ekonomi, aplikasi teknologi termaju, penyusunan strategi globalisasi, pengukuhan tanggungjawab bersama, tadbir urus dan kelestarian, penyediaan bakat, pemerkasaan perkhidmatan awam dan pasaran yang adil dan kompetitif, menangani kerentanan dan transformasi korporat.
Dokumen tersebut adalah laporan hasil kajian dari sesi libat urus dan bengkel intensif bersama kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta, ahli akademik serta pemegang taruh daripada pelbagai industri dan institusi yang telah diadakan dalam sejak tahun lepas.
“Pendekatan ini diambil bagi memastikan cadangan yang konklusif dan menyeluruh dibuat berasaskan pengalaman, pemerhatian dan pandangan semua pihak, khususnya susulan dari krisis ekonomi akibat dari pandemik Covid-19. Cadangan perubahan tertumpu kepada aspek struktur yang diperlukan untuk Malaysia terus cemerlang selaras dengan lanskap ekonomi baharu,” kata Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.
Dokumen berjumlah 143 muka surat tersebut turut menyenaraikan 30 fokus utama dan 153 inisiatif perubahan yang disyorkan oleh Sekretariat EAC.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Sri Mustapa Mohamed dan Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali telah menyerahkan dokumen yang tersebut kepada YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, hari ini.