Pembasmian Miskin Tegar Antara Fokus Mustapa Mohamed

Pandemik koronavirus 2019 (Covid-19) yang telah dua tahun melanda dunia bukan sahaja meragut nyawa manusia tetapi juga kualiti kehidupan sebahagian besar kita. Malaysia tidak terkecuali menerima impak atas musibah ini.

Sehingga November 2021, hampir tiga juta orang pernah dijangkiti Covid-19 dan lebih 30,000 orang meninggal dunia akibat pandemik ini. Berbilion pakej pemulihan ekonomi yang diumumkan namun hasil positif masih sukar dijangka.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2020 mencatatkan – 5.6 peratus berikutan perintah sekatan dan penutupan sempadan di peringkat global. Manakala kadar pengangguran tahun 2020 ialah 4.5 peratus, kadar tertinggi yang dicatatkan sejak 1993.

Berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan purata bulanan isi rumah secara keseluruhan telah menurun sebanyak 10.3 peratus pada 2020. Sebanyak 20 peratus atau kira-kira 600,000 isi rumah daripada kumpulan M40 telah beralih kepada kumpulan B40.

Ketidakstabilan Politik

Politik negara juga tidak pernah stabil. Sejak kehadiran Covid-19 negara telah menyaksikan tiga orang Perdana Menteri. Ketika pandemik ini bermula negara dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang kemudiannya meletak jawatan secara mengejut akibat pergelutan politik dalaman.

Penggantinya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih kerajaan pada Mac 2020 ketika negara diambang kecemasan. Muhyiddin terus mengadakan sekatan pergerakan dan menguatkuasakan beberapa akta mengawal penyakit berjangkit.

Namun pada Ogos 2021, Muhyiddin berhadapan tekanan politik dan rakyat yang kecewa dengan keadaan pandemik telah meletak jawatan. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan negara berhadapan tanggungjawab besar untuk memulihkan negara ini.

Malaysia berada diambang ketidakstabilan politik, jurang perbalahan pendapat yang sangat luas dan kemerosotan ekonomi.

Ismail Sabri percaya kesusahan, kepayahan dan kesukaran rakyat akibat pandemik ini hanya dapat dipulihkan dengan sikap kasih sayang, saling membantu dan saling mempercayai antara rakyat dan kerajaan serta sesama rakyat.

Tampil selepas mengangkat sumpah, Ismail memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia. Pelbagai perbahasan mengenai Keluarga Malaysia, namun yang jelas Keluarga Malaysia adalah berkenaan nilai ikatan kekeluargaan.

Anak penoreh getah ini mahu rakyat saling berganding bahu saling membantu seperti mana kita membantu dan bertolak ansur sesama ahli keluarga.

Pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik telah melemahkan ekonomi negara, menambah kumpulan rakyat miskin, hilang pekerjaan dan tempat bergantung.

Justeru bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed keutamaan sekarang adalah meningkatkan ekonomi negara dan memastikan rakyat berpendapatan rendah tidak terpinggir dari arus pembangunan negara.

“Sandaran utama saya ialah mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2025; mengenal pasti strategi miskin tegar kerana tumpuan kita nak hapuskan miskin tegar dalam 2025; serta asas yang ketiga Felda.

“Kita sedang berusaha untuk basmi miskin tegar ini, harap dapat kita hapuskan. Selain itu, bagi Felda pula kita nak tingkatkan pendapatan peneroka menerusi pelan pemulihan Felda supaya mereka menikmati pendapatan lebih tinggi menjelang 2023 iaitu RM5,000 satu keluarga peneroka,” katanya.

Menulis semula hal kimiskinan rakyat

Atas aspirasi Keluarga Malaysia, Mustapa Mohamed telah diberi tanggung jawab untuk menilai semula dan merombak usaha membantu kumpulan miskin tegar di negara ini.  

Jika suatu masa dahulu menguruskan kemiskinan rakyat berada dalam kementerian berkenaan kebajikan, kini Mustapa Mohmed, seorang teknokrat ekonomi sejak beberapa dekad lalu telah diberi tanggung jawab menyelaras semua inisiatif dalam dasar pembasmian kemiskinan.

Hasrat kerajaan jelas. Membasmi kemiskinan bukan sekadar kisah kebajikan dan bantuan berterusan. Bantuan sama ada untuk sara hidup atau keluar dari kemiskinan harus diselaras dan dipantau supaya tidak ada yang tercicir dan terpinggir.

Kerajaan juga tampaknya mahu memastikan faktor ketirisan bantuan, pilih kasih dan pembaziran sumber dapat dikurangkan. Dalam masa yang sama penyelarasan ini akan membolehkan kerajaan memantau secara keseluruhan pencapaian program membasmi kemiskinan.

Bagi Mustapa membasmi miskin tegar bukan sekadar dari perspektif kerajaan. Ia harus melibatkan pemegang taruh dan rakyat yang memahami realiti di bawah.

Justeru sejak tiga bulan lalu Mustapa telah menubuhkan Poverty Circle yang merupakan kumpulan perbincangan meja bulat antara Kerajaan, Organisasi Masyarakat Sivil (CSO), Badan Korporat, Ahli Akademik dan Individu Terkemuka. Ini bertujuan untuk berkongsi pendekatan terbaik dalam menangani kemiskinan.

Ia juga selari dengan pendekatan keseluruhan negara atau whole-of-nation approach yang melibatkan peranan sektor swasta dan CSO sebagai rakan pembangunan kepada Kerajaan.

Setakat ini, enam sesi Poverty Circle telah dijalankan. Matlamatnya adalah untuk menukar semua input yang diperoleh daripada Poverty Circle kepada dasar kemiskinan negara.Menguruskan kemiskinan sekarang bukan

Hasilnya dalam 100 hari pertama Aspirasi Keluarga Malaysia, Bahagian Ekonomi Jabatan Perdana Menteri telah membangunkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial Peringkat (PDPS) Persekutuan; dan menubuhkan Unit Kemiskinan di Jabatan Perdana Menteri.

PDPS Persekutuan ini telah merekodkan jumlah kemiskinan tegar kini sebanyak 200,000 keluarga berasaskan pendapatan isi rumah ini RM1,169 sebulan.

PDPS ini akan mengintegrasikan semua data bantuan kepada rakyat miskin bagi memastikan tiada yang tertinggal dan terabai.

Satu pemetaan profil dan lokaliti juga sedang dilaksanakan bagi memudahkan pelaksanaan strategi yang bersesuaian dengan kelompok miskin tegar yang mahu dibantu. Setakat ini sebanyak 50 lokaliti miskin tegar telah dikenal pasti dan setiap satunya akan mempunyai pendekatan rangka strategi yang berbeza.

Untuk menjamin pelaksanaan yang lebih berfokus, unit kemiskinan yang khusus akan ditubuhkan di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah dengan dikawal selia dan tadbir urus secara langsung oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.

Kini selain RMK-12 dan Felda, membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 adalah keutamaan Mustapa yang menerajui Bahagian Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *