Nizam al – Mulk Sebar Luas Tradisi Pendidikan Islam

Bermula sejak 1037, kesultanan Seljuk di bawah pemerintahan Abbasiyah mencetus kebangkitan kepemimpinan umat Islam sehingga membawa kemunculan pemerintahan Uthmaniyah.

Tidak sekadar dalam politik dan pentadbiran, tempoh pentadbiran kesultanan Seljuk juga menyaksikan perkembangan sangat hebat dalam keilmuan dan pendidikan.

Di sebalik segala pencapaian terakam dalam catatan sejarah, pastinya perhatian terarah kepada seorang pemimpin de facto yang mentadbir empayar selama 30 tahun.

Sebagai seorang Perdana Menteri, Nizam al-Mulk mentadbir empayar Seljuk di bawah kepemimpinan dua Sultan iaitu Alp Arslan (1062 hingga 1072) dan puteranya, Malikshah (1072 hingga 1092).

Beliau yang bernama al-Hasan bin ‘Ali bin Ishaq dilahirkan di Tus, Iran pada 1018. Dibesarkan sendirian oleh ayahnya selepas kematian ibu, beliau menghafal keseluruhan al-Quran ketika berusia 10 tahun dan kemudian menyambung pengajian di Naysabur, Bukhara, Marw serta beberapa tempat yang lain.

Sejak 1049, beliau berkhidmat dengan kesultanan Ghaznawi sebelum kesultanan Seljuk mengambil alih pemerintahan. Bermula dari situ, Nizam al-Mulk terus berjinak dengan dunia politik dan pentadbiran sehingga akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Alp Arslan pada 1062.

Tidak sekadar seorang pentadbir, beliau juga pemikir yang menghasilkan karya Siyasat Nameh (buku tentang politik) membicarakan mengenai pemerintahan dari perspektif seorang pemerintah Muslim.

Buku dikategorikan dalam genre Fürstenspiegel atau Mirrors for Princes (Nasihat kepada Pemimpin) itu menghimpunkan sejumlah pandangan disokong dalil dan anekdot sebagai panduan pemerintahan kepada Malikshah.

Atas pengiktirafan terhadap kebijaksanaannya, beliau dianugerahkan beberapa gelaran seperti Atabey (gelaran Turki yang bermaksud tuan ayah), Nizam al-Mulk (gelaran yang dikurniakan oleh Alp Arslan bermaksud pengatur pemerintahan), Khawwajah Buzurg dan al-Wazir al-Kabir (kedua-duanya bermaksud Perdana Menteri) serta Ghiyath al-Dawlah (penaung negara).

Pemerintah Abbasiyah iaitu Khalifah al-Qa’im bi-Amr Allah turut menganugerahkannya dengan dua gelaran besar iaitu Qawam al-Din (penegak agama) dan Radiy Amir al- Mu’minin (yang diredai oleh pemerintah orang beriman) dengan gelaran kedua sepatutnya hanya diberi kepada putera khalifah.

Semua pengiktirafan ini selayaknya dengan jasa dan sumbangan beliau sepanjang memegang tampuk pentadbiran. Antaranya kejayaan menggerakkan peranan ilmuwan pada masa itu untuk menentang gerakan Batiniyah yang bermatlamat mengambil alih tampuk pemerintahan secara pemberontakan.

Hasan al-Sabbah selaku pemimpin gerakan itu sangat membenci beliau yang berjaya membangkitkan semangat keilmuan Sunni sehingga akhirnya menggagalkan kelicikan Batiniyah yang beroperasi di kota kubu gunung Alamut.

Di sebalik segala aturan politik dan pentadbiran serta strategi peperangan, Nizam al-Mulk tidak lupa untuk membangunkan senjata keilmuan dan kerohanian bagi menghadapi penentangan Batiniyah yang maha dahsyat.

Maka, peranan ilmuwan seperti Abu Hamid al-Ghazali, Omar Khayyam, al-Isfizari dan Yusuf al-Hamadani digerakkan dalam kalangan masyarakat supaya dapat memelihara diri mereka daripada terjebak dengan hasutan Batiniyah.

Selain Balai Cerap Malikshah dan Kalendar Jalali sebagai antara legasi keilmuan diwariskan, Nizam al-Mulk pasti lebih dikenang dengan sumbangannya membangunkan rangkaian Madrasah Nizamiyyah sebagai legasi utama pendidikan Islam.

Walaupun wujud pelbagai institusi pendidikan sebelum itu, beliau berperanan penting dalam memperkenalkan madrasah sebagai institusi pengajian tinggi yang menyelaraskan sistem pendidikan tersendiri.

Madrasah Nizamiyyah menjadi contoh legasi sistem pendidikan Islam yang sistematik dan berjaya melahirkan ramai ilmuwan. – Foto hiasan

Madrasah Nizamiyyah dibangunkan secara khusus sebagai tempat mengajar dan belajar, justeru berbeza dengan masjid, perpustakaan, hospital atau balai cerap yang mempunyai fungsi tersendiri, namun turut dijadikan sebagai institusi pendidikan.

Maka, ilmuwan dijemput mengajar di Madrasah Nizamiyyah seperti Abu al-Ma’ali al-Juwayni, Abu Ishaq al-Shirazi, Abu Bakr al-Khujandi, Abu Hamid al-Ghazali dan lain-lain.

Kewibawaan keilmuan mereka melahirkan sejumlah graduan yang hebat termasuk Abu Hamid al-Ghazali yang juga graduan Madrasah Nizamiyyah, Abu Hafs al-Balkhi, Ibn ‘Asakir, al-‘Imad al-Asfahani dan lain-lain.

Antara sistem diperkenalkan menerusi Madrasah Nizamiyyah ialah kewujudan hierarki pentadbiran yang digambarkan menerusi istilah nazir atau wali (Penaung), mutawalli (Pengurus), imam (Imam Masjid), khazin atau amin (Pustakawan) dan mustakhdamin (Pembantu Pengurusan).

Begitu juga dengan hierarki pengajaran yang tergambar menerusi istilah mudarris (guru utama), naib mudarris (timbalan guru), muqri’ (guru al-Quran), muhaddith (guru hadis), nahwi (guru bahasa Arab), waiz (kaunselor) dan muid (tutor).

Dari aspek prasarana, selain dewan pengajian, masjid dan perpustakaan sebagai keperluan utama, Madrasah Nizamiyyah turut menyediakan kediaman kepada guru dan asrama kepada pelajar.

Malah terdapat pasar dinamakan suq al-madrasah (pasar madrasah) bertujuan menyediakan keperluan harian, di samping menjana ekonomi bagi tujuan pembangunan dan penyelenggaraan madrasah.

Madrasah Nizamiyyah pastinya masyhur dalam kalangan masyarakat ketika itu sebagai institusi pendidikan yang menyediakan gaji kepada guru dan biasiswa kepada pelajar secara sistematik.

Dengan kekuatan sistem wakaf yang menjana kewangan madrasah, tidaklah menghairankan jika Madrasah Nizamiyyah menjadi tumpuan ramai ilmuwan dan penuntut ilmu walaupun pelantikan guru serta penerimaan pelajar perlu melalui sistem penilaian yang ditetapkan.

Nizam al-Mulk berjaya membangun dan menyelaraskan sistem pendidikan tersendiri di seluruh rangkaian Madrasah Nizamiyyah di Naysabur, Baghdad, Balkh, Isfahan, Harat, Marw, Amul Tabaristan, Basrah, ‘Askar Makram dan Mawsil.

Kejayaan ini tidak disenangi musuh Islam ketika itu khususnya Batiniyah sehingga menyebabkan beliau dibunuh pada 1092 di satu kawasan antara Isfahan dan Baghdad.

Kemasyhuran Madrasah Nizamiyyah sebagaimana tercatat lembaran sejarah menjadi bukti legasi sistem pendidikan Islam yang diwariskan sehingga akhirnya tidak sekadar memperkembangkan tradisi pendidikan di dunia Islam, malah memberi impak kepada perkembangan tradisi pendidikan di dunia Barat.

Legasi istimewa ini wajar menjadi model rujukan masa kini ke arah mengembalikan kegemilangan peradaban Islam yang berdiri di atas sifat keseimbangan antara kuasa dan ilmu, serta politik dan pendidikan.

  • Dr Asyraf Isyraqi Jamil adalah Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *