Kepala @ Otak

SESEORANG yang berkuasa sanggup menanggung apa pun. Adakah batas yang tuntas dan tegas, soal apa yang mampu ditanggung oleh lelaki itu? Sebagai seorang yang berpengaruh, dia dikatakan sanggup menanggung keperluan penduduk di kampung itu.

Lelaki itu berdiri penuh karismatik atas jasanya – begitulah pendapat penduduk kampung tersebut yang rata-ratanya berusia lebih 50-an dengan rambut yang persis diayak-ayak dengan tepung mendengar kata-kata yang menabur gula. Sambil tersenyum dengan lirikan seperti ekor anjing, lelaki itu selalu mengatakan bahawa kampung itu tidak akan maju tanpa jasanya. Dia tumbuh dan subur dengan keyakinan itu. Pernyataan itu kelihatan berasas, meskipun tersisip kerugian dan penyembunyian fakta.

Aku mengenalinya sejak tahun 1990 tatkala aku berkhidmat di Baram. Dia pada waktu itu cuba membuka ruang pelaburan dan perniagaan kepada penduduk kampung tentang penternakan ikan empurau dan semah di atas tanah seluas satu hektar namun usahanya itu gagal. Banyak benih ikan empurau dan semah telah mati kerana kepekatan ph air yang tidak menepati piawaian berdasarkan saranan yang diberikan oleh Jabatan Pertanian. Ramai penduduk kampung yang mengalami kerugian. Lelaki itu mendepani masalah berkenaan dengan muka tidak bersalah. Dia sangat tenang. Masyarakat kampung juga tidak pernah serik dan lokek untuk melabur. Kepercayaan kepadanya tidak pernah hilang. Dia sentiasa diberikan ruang dan peluang. Meskipun projek yang diusahakannya boleh dikatakan mengalami perolehan yang tidak menentu, masyarakat kampung masih menyokong projek yang diusahakannya terutama sekali dengan sokongan ketua-ketua masyarakat yang menjadi konco-konconya.

Sewaktu aku keluar ke bandar melalui jalan tanah merah yang becak, aku pernah bertemu dengannya di sebuah bar di Marina Bay. Kami bersembang tentang pelbagai isu. Setengah batang rokok di tanganku akan habis dalam dua atau tiga kali hisap lagi. Dia pula berbicara panjang seolah-olah telah dirasuk mabuk. Fikirannya dihanyutkan oleh gelas-gelas bir yang mengapungkan buih-buih khayal. Suaranya samar seperti lampu di bar tersebut. Mungkinkah dia terlepas kata pada malam itu yang memberikan sekilas informasi, ” Masyarakat bumiputera perlu dipegang pada kepalanya. Itu yang penting.” Aku yakin, kepala yang dimaksudkan ialah merujuk kepada ketua masyarakat yang mengawal tindakan anak-anak buahnya. “Aku sanggup berhabis-habisan ke arah itu. Pasti ada pulangan yang lumayan.”

Ladang kelapa sawit di belakang kampung tersebut diusahakan oleh syarikat milik lelaki itu. Dialah yang mengusahakan tanah adat penduduk kampung dengan menyatukan semua geran dalam satu kepala surat untuk dimajukan atas nama syarikatnya. Geran-geran tanah penduduk kampung disimpan oleh peguam syarikat. Dalam kalangan penduduk kampung, dia dicanang sebagai seorang hero yang genius dan berfikiran tiga atau empat tapak ke depan. Dia dikatakan telah menyedarkan masyarakat kampung agar pertanian dijalankan secara komersial hingga syarikatnya berupaya mencari pasaran baru untuk buah kelapa sawit. Ramai pelajar-pelajar universiti yang ingin menemuramahnya atas kecerdasannya menguruskan harta masyarakat kampung. Akhirnya, banyak kampung-kampung lain yang menyertai projek yang diperkenalkannya.

” Pemilik tanah tak perlu pening-peningkan kepala. Bekerja sahaja seperti biasa. Biar kami yang mempunyai kepakaran ini menguruskan dari segi jualan dan mengagihkan keuntungan syarikat.”

Dalam dua tahun berikutnya, selama aku terus berkhidmat sebagai penjawat awam, aku mengikuti perkembangan lelaki tersebut yang entah bagaimana, pengaruh dan kekayaannya bertambah dengan kecepatan yang meragukan. Hanya sesekali dia akan berkunjung ke kampung menjenguk pengoperasian syarikatnya. Pada waktu itu juga dia akan berjumpa dengan semua ketua masyarakat dan mengadakan aktiviti makan-makan di restoran. Ada yang memberitahu bahawa lelaki itu telah memecat beberapa orang kanan yang tidak sehaluan dengannya. Pada mulanya, aku berasa keliru namun kemusykilan itu hilang seperti kunang-kunang ditelan terang. Masih lagi terngiang-ngiang kata-katanya sewaktu kami pernah minum bersama-sama di bar suatu ketika dahulu, “Dalam perniagaan, perkara yang paling penting bukannya sahabat tetapi keuntungan. Dalam perniagaan pun ada sepak terajang yang tersendiri.” Ruangan di meja bar bersimbah cahaya yang bertelau-telau, memantulkan bayangan kami dalam samar-samar.

Lelaki itu kini semakin aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan. Dia bijak menempelkan diri di media-media sosial untuk mengulas sesuatu isu yang akan memberikan kredit kepada pengaruh dan perniagaannya. Kata-katanya dan wajahnya sentiasa selari – dalam keadaan selamba. Pentas NGO yang disertainya menjadi platform untuk dia menarik khalayak untuk mengikuti siaran langsung yang dibuatnya melalui Youtube, Instagram, Facebook dan media-media sosial yang lain.

” Untuk menapak ke puncak kejayaan, kita perlu mempunyai kebolehan untuk mempromosikan diri.” Entah mengapa, kata-katanya yang dirasuk mabuk sewaktu di bar nampak begitu tulus dan telus untuk mencerminkan dirinya yang sebenar.

Sungguh, dia bijak bermain sentimen untuk membakar perasaan penduduk kampung untuk menerima langkah yang dilakukan oleh syarikatnya. Label kemajuan sentiasa dimainkan.

” Kemajuan yang datang dari orang luar adalah merupakan penjajahan biar pun mereka menawarkan pelan keuntungan yang lebih baik. Kita jangan menggadai martabat dan maruah bangsa. Syarikat saya pula merupakan syarikat jati penduduk kampung. Datuk nenek saya dahulu memang berasal dari sini. Saya majukan tanah-tanah kalian bukan untuk saya tetapi untuk kemajuan kampung. Anda semua perlu menyokong saya tanpa ragu-ragu.”

Semua warga tua di kampung tersebut mengangguk; bersetuju dengan pandangannya. Peningkatan usianya yang lebih berusia daripada rata-rata penduduk kampung terus menampakkan aura dan karismanya yang menyerlah. Biarpun usianya sudah mencecah tujuh puluh tahun namun kudrat dan roman wajahnya tidak menggambarkan peningkatan usia tersebut. Dia masih tampak bertenaga untuk meluaskan peniagaannya yang telah mempunyai puluhan cawangan.

” Kebanyakan kampung yang mengikuti projek syarikat saya, semuanya boleh dihubungi dengan jalan sekarang ini … biarpun hanya jalan tanah merah. Sepuluh tahun akan datang, pastinya jalan itu akan terus dimajukan dan menjadi lebih baik.”

Di media sosial, suara pidatonya itu terdengar begitu lantang persis sang serigala yang lolongannya mempunyai nada ugutan.

Namun ramai juga generasi muda yang mempunyai pendidikan telah berani melawan arus. Mereka tidak menerima mentah-mentah pandangan lelaki tersebut sehingga mereka dilabelkan sebagai golongan yang menolak pembangunan terutama oleh golongan tua. Mereka digelar sebagai golongan keras kepala dan radikal.

” Apalah gunanya jalan tanah merah itu jikalau penduduk kampung tidak mempunyai kenderaan kerana terus dihimpit kemiskinan kerana gaji yang ditawarkan terlalu kecil. Upah tidak sepadan dengan tenaga yang dikerah.”

” Penduduk kampung terpaksa membayar tambang pengangkutan yang mencekik darah.”

” Perkhidmatan pengangkutan diusahakan oleh anak syarikat daripada syarikat induk yang sama. Ini namanya perniagaan monopoli.”

” Kita seolah-olah dijajah oleh rakyat tempatan sendiri.”

Kata-kata penentangan itu hanya seperti angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa yang tidak memberikan sebarang impak. Malahan kata-kata itu ditepis oleh ketepuan pengaruh lelaki itu yang menebal dalam pemikiran golongan tua.

” Orang muda berjuang dengan pen dan kertas sedangkan orang-orang lama menggunakan cangkul di atas tanah.”

Kata-kata itu dibalas oleh golongan muda, ” Kerana pen dan kertaslah pemilikan tanah itu diperjudikan.”

Masing-masing tidak beralah. ” Golongan tua terlebih dahulu makan garam.” Pertelingkahan itu dihentikan dengan pengaruh mutlak yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin masyarakat. Ramai golongan muda yang tidak balik lagi ke kampung selepas itu dan terus mencari rezeki di bandar. Kekecewaan berserakan untuk dibawa ke mana-mana.

Lagi-lagi bekas orang-orang kanannya yang menyampaikan kepadaku tentang perkhabaran terbaru lelaki yang berpengaruh itu. Pada waktu itu aku telah pun bersara wajib dan tidak tinggal di hulu itu lagi. Kami sekali-sekala berjumpa dan makan bersama-sama di sebuah restoran di Miri dan dalam salah satu bahagian percakapannya itu, bekas orang kanannya menceritakan, biasa saja, tanpa melebih-lebih bahawa legasi perusahaan milik lelaki tua yang berpengaruh itu telah diserahkan kepada anaknya.

Ya, lelaki tua itu telah meninggal sebulan yang lalu! Aku terkejut kerana baru mendengar perkhabaran tersebut. Yang lebih menarik perhatian aku ialah tatkala ramai pemilik-pemilik tanah adat di beberapa kampung itu juga telah meninggal dunia hingga anak-anak mereka tidak tahu kedudukan tanah adat milik orang tua mereka. Waris berkenaan tidak memiliki geran yang sah. Geran tanah milik orang tua mereka telah disatukan dalam satu kepala geran sahaja yang ditulis atas nama syarikat. Mereka juga tidak mengetahui kedudukan tanah mereka secara tepat. Semuanya telah ditanam dengan kelapa sawit dan menjadi milik syarikat.

Aku tidak mahu menerima bulat-bulat penerangan daripada mantan orang kanan lelaki tersebut. Tapi aku memang melongo mendengar penerangannya bahawa lelaki itu telah membakar geran milik penduduk kampung sewaktu hayatnya. Benarkah? Ada yang menyendat dalam dadaku.

Sewaktu hayatnya, lelaki yang dikatakan berjasa kepada kampung itu telah bersetuju mendermakan otaknya untuk dijadikan bahan kajian atas nama NGO yang diketuainya. Bukankah dia dikatakan seorang yang genius ? Atau dia hanya bijak menempatkan dirinya dalam keadaan-keadaan yang tertentu. Memang itulah tujuannya. Tidak ada yang lain. Anak-anaknya telah cuba menarik balik persetujuan yang ditandatangani ayahnya tetapi kali ini mereka yang dibelenggu dengan perjanjian. Peguam-peguam syarikat tidak dapat berbuat apa-apa. Agensi penyelidikan dari luar negara pula berkeras. Agensi itu sanggup menyumbang dana dan menyediakan kepakaran yang perlu untuk tujuan tersebut. Keupayaan syarikat lelaki tua itu meluaskan pasaran kelapa sawit dengan membangunkan R&D sangat dikagumi. Lelaki tua itu malahan di samakan dengan H.N. Riedley yang memperkenalkan pokok getah di tanah Melayu sedangkan lelaki itu pula mempopularkan pokok kelapa sawit kepada penduduk kampung.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa sumber yang dibangunkannya untuk ladang kelapa sawit adalah daripada tanah penduduk kampung dengan menyembunyikan keuntungan bersih dan hak pemilikan tanah yang diusahakan secara pajak dalam jangka masa yang terlalu panjang.

Pembedahan telah dilakukan di sebuah pusat perubatan di universiti swasta yang terkenal di ibu kota menerusi revolusi teknologi terbaru. Anak-anaknya menanti dengan debaran yang mengasak. Ketua-ketua masyarakat yang baru ( menggantikan ketua masyarakat yang lama ) yang terbang ke ibu kota turut berada di luar bilik bedah. Semua ini untuk menunjukkan keprihatinan demi poket diri atau sememangnya menunjukkan simpati kepada sesiapa yang ditimpa musibah? Dalam dunia moden, tiada kebaikan tanpa sebab dan alasan munasabah.

Sungguh. Dapatan daripada para saintis dan doktor dari luar negara itu amat mengejutkan. Dapatan itu terpaksa diperhalusi berkali-kali. Kesilapan akan menghilangkan kredibiliti. Pada bahagian serebrum otak lelaki tersebut seperti tertulis sesuatu dengan garisan yang sangat halus. Garisan yang membentuk lekuk tulisan itu sangat kecil persis selirat urat biru dan merah. Mikroskop telah digunakan. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Benarkah dapatan tersebut? Semua doktor itu ternganga apabila urat pada bahagian serebrum seperti tertulis satu perkataan dalam tulisan jawi.

Di bahagian serebrum otak itu tertulis: Penipu !

Abang Median Abang Said merupakan pengarang prolifik yang kerap mendominasi pelbagai anugerah sastera ini bertugas sebagai guru Bahasa Melayu di SMK Marudi, Baram.

Sumber: Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *