Jujur gunakan kit ujian kendiri COVID-19

Ketika ini terdapat enam jenis kit ujian kendiri COVID-19 yang mendapat perakuan dan kelulusan bersyarat Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Ini termasuk juga kit ujian Salixium, produk pertama keluaran syarikat tempatan Malaysia. Semua kit ini boleh diperoleh secara terbuka di klinik kerajaan, farmasi berdaftar mahupun dalam talian.

Kit ini mudah digunakan kerana hanya memerlukan sampel air liur. Ia mampu dilakukan sendiri individu, dengan keputusan diperoleh cepat selepas 10 hingga 15 minit.

Ia amat sesuai untuk menyemak sama ada diri dijangkiti virus COVID-19, termasuk sekiranya mempunyai kontak dengan individu kes positif, dengan ketepatan hasil 100 peratus. ia juga berguna untuk saringan awal sebelum ke mana-mana klinik atau fasiliti kesihatan bagi tujuan saringan selanjutnya.

Selain itu, keputusan pantas diperoleh juga berguna bagi saringan tertentu kelak seperti di pintu masuk antarabangsa, rentas negeri, pra pekerjaan dan pra kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Garis panduan penggunaan dan pengendalian kit ujian dikeluarkan KKM. Ia termasuk arahan memerlukan individu melakukan sendiri ujian ini haruslah melaporkan keputusan yang diterima. Keputusan ujian baik positif, negatif atau invalid (tidak sah) haruslah dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera.

Mereka yang disahkan positif harus tahu apa langkah seterusnya seperti dinyatakan dalam prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk prosedur kuarantin diri, mendapatkan gelang merah jambu serta menjalani rawatan diperlukan.

Namun, sejauh mana mereka yang mendapat keputusan positif ini berani dan jujur tampil menghubungi KKM untuk memaklumkan status mereka ini.

Walaupun pengguna kit ini wajib bertanggungjawab melaporkan keputusan sebenar, ia tidak menghalang mereka berbuat sebaliknya. Ada risiko kemungkinan pengguna cuba menyembunyikan keputusan positif dengan hanya melakukan kuarantin kendiri, khususnya yang tiada gejala.

Ada pula risiko kontak rapat yang mendapat keputusan negatif, tetapi masih keluar rumah seperti biasa, walhal sepatutnya perlu juga menjalani kuarantin.

Lihat sahaja sebelum ini, ada yang diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah, tetapi melanggar arahan terbabit. Ada pula yang lambat melaporkan perubahan keadaan kesihatan kepada pihak berkaitan.

Justeru, sifat jujur dan kebertanggungjawab dalam penggunaan kit ini amat kritikal. Ia demi melindungi masyarakat awam lain daripada terdedah jangkitan tanpa disedari, sekiranya pengguna ini tidak mengambil langkah sepatutnya.

Realitinya, kit ujian kendiri saringan COVID-19 boleh dijadikan inisiatif awal untuk lapisan pertama pertahanan diri di kala berjuang menentang virus ini.

Jika tidak sihat atau mempunyai gejala, kit ini akan menyediakan solusi terbaik tanpa perlu terus keluar ke klinik sambil membahayakan orang di luar.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam

Sumber: Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *