Keabsahan MT UMNO Tamat, Ahli Parlimen Tidak Terikat Arahan Parti

Berikutan keputusan terbaharu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan penangguhan pemilihan UMNO menyebabkan suhu politik parti itu kembali panas.

Ini disebabkan keabsahan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah pun tamat pada 30 Jun lalu sedangkan keputusan menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibuat pada 3 Ogos.

Keputusan itu kini sudah tidak mengikat ahli-ahli Parlimen UMNO dan tindakan disiplin tidak boleh diambil ke atas mereka walaupun mereka mengundi menyokong Muhyiddin dan kerajaan PN dalam sidang Parlimen, September ini. Sebaliknya UMNO perlu mengadakan pemilihan parti tahun ini atau berdepan tindakan RoS, termasuk kemungkinan penggantungan atau pembatalan parti itu.

Jika pemilihan diadakan dalam masa terdekat, kedudukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO pasti akan dicabar oleh kelompok yang sudah pasti tidak setuju dengan tindakan beliau yang besar kemungkinan akan diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Melalui kedudukan beliau sebagai Naib Presiden terkanan dan pengaruh selaku Timbalan Perdana Menteri, adalah tidak mustahil beliau akan disokong oleh ahli-ahli UMNO yang kurang bersetuju dengan keputusan Zahid yang dilihat cacamarba.

Jika ahli-ahli Parlimen UMNO memilih untuk tidak menyokong usul percaya kepada Muhyiddin, bukan sahaja Muhyiddin perlu meletak jawatan tetapi seluruh Kabinet termasuk menteri dan timbalan menteri UMNO akan terbubar dengan sendiri seperti berlaku bila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Jika pilihan raya umum terpaksa diadakan dalam situasi krisis jangkitan Covid-19 semakin memuncak, pastilah kesudahannya tidak akan memberikan manfaat kepada rakyat khususnya penyokong dan ahli UMNO.

Sebaliknya nanti UMNO pula yang akan dipersalahkan oleh rakyat disebabkan tindakan menarik sokongan yang membawa negara ke kancah politik sekali lagi, sekali gus mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong supaya jangan berbuat begitu.

Mungkin inilah strategi sebenar Zahid yang terus mahu menguasai UMNO dengan memastikan Ismail Sabri dan lain-lain menteri UMNO tidak mempunyai apa-apa kelebihan berbanding dirinya untuk mempertahan jawatan Presiden dalam pemilihan parti.

Apakah keuntungan kepada UMNO jika membuat pilihan menolak Muhyiddin dan kerajaan PN ketika pandemik semakin memuncak? Rakyat pasti akan menyalahkan UMNO sebagai parti gila kuasa jika terbubarnya Parlimen.

Mungkin wujud kumpulan yang takut Zahid tidak memberi watikah sebagai calon pilihan raya umum (PRU) nanti tetapi andai kata berlakunya pemilihan UMNO dalam masa terdekat dan Ismail Sabri menang dalam jawatan Presiden, situasi pasti berubah.

Di sini perlu diingatkan, pemimpin datang dan pergi, yang tinggal adalah prinsip parti. Diharapkan ahli-ahli UMNO akan kekal menyayangi bangsa dan negara daripada membiarkan diri dipergunakan untuk memenuhi agenda pemimpin bermasalah. Adalah lebih bijaksana untuk UMNO bersabar dalam kerajaan daripada kembali ke pembangkang.

Persoalan paling menarik perlu difikirkan, jika kumpulan Zahid berjaya dalam krisis ini, apa akan berlaku kepada UMNO dan ke mana haluan parti selepas itu?

Paling besar kemungkinan, Zahid kekal sebagai Presiden tetapi UMNO tetap menjadi pembangkang kerana tidak mungkin Zahid boleh menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri.

Ini kerana UMNO sendiri sudah membuat keputusan menolak kerjasama dengan PKR dan DAP manakala PKR dan DAP sendiri pasti tidak akan menyokong beliau atau kumpulannya yang mempunyai pertuduhan di mahkamah.

Andai berlaku PRU, akan wujud pertandingan empat penjuru atau lebih dalam sesebuah kawasan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri. Adakah dalam pertandingan empat penjuru atau lebih ini akan memenangkan mana-mana komponen parti untuk lebih berdominasi selepas PRU?

Mungkin kali ini tiada mana-mana komponen parti akan menang dengan majoriti mudah. Mungkin satu pembentukan komponen penjajaran baharu perlu dibuat dalam pembentukan kerajaan nanti. Tidakkah selepas UMNO mengkhianati PN, tidak mungkin parti-parti komponen bekerjasama lagi dengan UMNO selepas PRU?

Dalam PRU nanti, adakah UMNO akan bertanding sendiri di bawah jenama UMNO atau di bawah jenama Barisan Nasional (BN) dan adakah UMNO akan mampu menang besar jika bertanding sendiri? Dengan melihat kepada MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang lebih rapat dengan PN daripada BN, malah dengan pemimpin mereka mempersoalkan secara terbuka keputusan UMNO di bawah Zahid, saya tidak nampak bagaimana BN boleh bertahan.

Pada hemat saya, jika Zahid terus-terusan membuat pelbagai keputusan mengikut kepala sendiri tanpa berunding terlebih dahulu dengan parti-parti komponen, maka BN hanya menunggu masa untuk runtuh membiarkan UMNO terkapai sendirian.

Itulah pun imej UMNO sekarang, sebuah parti yang perasan masih besar, masih dominan dan masih perkasa sehinggakan semua parti lain mahu diperlekehkan. Siapa yang mahu berkawan dengan parti berimej begini? Dalam keadaan tersepit nanti, tidak ada harga dirikah UMNO untuk mengemis kerjasama dengan DAP dan PKR yang selama ini sering dibalun?

Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah
Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Sumber: Agenda Daily

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *