Agrikomoditi terus main peranan penting pacu ekonomi negara – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yakin sektor Agrikomoditi berkemampuan menjadi salah satu pemacu ekonomi negara berikutan peningkatan nilai eskport sektor tersebut walaupun ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, nilai eksport produk Agrikomoditi pada tahun 2020 terus kukuh pada RM151.3 bilion dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 17.8 peratus berbanding RM128.5 bilion pada tahun 2019.

“Pada tahun 2021 pula, jumlah eksport Agrikomoditi terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan walaupun negara masih berada dalam pandemik COVID-19. Saya dimaklumkan, sehingga bulan November 2021, pendapatan eksport dianggarkan RM189.8 bilion iaitu meningkat 41.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020,” ucap Perdana Menteri ketika melancarkan Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia.

Peningkatan ini didorong oleh beberapa permintaan dalam sarung tangan getah, kelapa sawit dan produk berasaskan kayu. Malaysia kini merupakan negara pengeluar terbesar dunia bagi sarung tangan getah apabila menguasai 65 peratus pasaran produk berkenaan.

Selain itu Ismail Sabri turut memberi contoh jumlah eksport produk berkaitan sawit ke India telah mencatatkan peningkatan yang membanggakan dengan peningkatan eksport melebihi sekali ganda iaitu daripada RM8.5 bilion pada tahun 2020, kepada RM17.8 bilion pada tahun 2021.

Menurut Perdana Menteri, sejak berdekad yang lalu, sektor Agrikomoditi telah menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia. Lebih penting, hasil daripada pekerjaan di sektor ini telah berjaya mengurangkan keluarga yang dibelenggu kemiskinan.

Kadar kemiskinan dalam kalangan peladang dan pekebun kecil sektor Agrikomoditi telah menurun dengan signifikan.Kadar kemiskinan nasional pada tahun 1970 adalah pada tahap 49.3 peratus dan telah menurun kepada 5.6 peratus pada tahun 2019. Saya percaya, penurunan ini sebahagiannya adalah sumbangan daripada sektor ini.

Sementara itu, dalam ucapan pembukaan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin memberitahu bahawa beliau sendiri akan mengetuai delegasi memberi penjelasan mengenai kedudukan sebenar industri sawit negara kepada negara kesatuan eropah.

Malaysia sebelum ini telah meminta sesi pendengaran berkaitan isu diskriminasi minyak sawit Malaysia bersama Kesatuan Eropah (EU) dan ia dijangka akan berlangsung pada Mac depan.

Sesi pendengaran pertikaian dakwaan diskriminasi minyak sawit oleh kalangan negara EU yang dijadualkan diadakan bulan ini telah ditangguhkan sehingga Mac depan.

Malaysia memfailkan kes berhubung diskriminasi minyak sawit kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) melalui mekanisme Penyelesaian Pertikaian 600 (Dispute Settlement 600) pada tahun lepas.

Pihak Jabatan Peguam Negara akan menyelaras bersama WTO dan memaklumkan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berhubung tarikh baharu yang akan ditetapkan bagi sesi itu.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *