Pelan 5G Negara diancam Kabinet?

Kabinet mungkin akan membuat keputusan untuk menyemak semula peranan Syarikat Bertujuan Khusus (Special Purpose Vehicle – SPV), Digital Nasional Berhad (DNB), sebagai penyedia platform tunggal bagi spektrum internet 5G dalam mesyuarat pagi rabu atau beberapa minggu mendatang.

Lobi kumpulan Telco, penyedia teknologi yang kalah tender dan ahli politik berkepentingan dilihat mewarnai media massa sejak beberapa minggu lalu.

Realiti yang perlu kabinet sedar ialah sebarang perubahan dasar dalam 5G, yang telah dikaji dan diteliti oleh pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikassi dan Multimedia (SKMM) sebelum diumumkan, akan menjejaskan syarikat milik kerajaan, kepercayaan syarikat teknologi tinggi antarabanngsa dan mengulangi kesilapan model 4G yang gagal merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

Digital Nasional Berhad (DNB)

DNB ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan bagi tujuan membina infrastruktur komunikasi 5G di seluruh negara bagi mempercepatkan proses capaian, merendahkan kos pembinaan infra dan perbelanjaan modal (capital expenditure atau CAPEX), sekaligus merendahkan caj penggunaan 5G.

Ia dibuat setelah mengambil kira kegagalan syarikat Telco menyediakan capaian 4G yang meluas ke seluruh negara. Dalam model pembangunan 4G semua syarikat telekomunikasi (telco) bertanggungjawab membina infra secara bersendirian bagi kegunaan pelanggan mereka. Ini mengakibatkan Telco menumpukan di kawasan bandar yang berkapasiti tinggi dan mempunyai kuasa beli yang lebih baik.

Mereka melambat-lambatkan pembinaan infra di kawasan yang tidak mempunyai potensi pengguna yang tinggi kerana tidak mahu menjejaskan keuntungan. Kos pembinaan infra 4G juga menjadi tinggi kerana setiap telco membina menara atau platform 4G secara berasingan. Kos ini kemudiannya ditanggung oleh pengguna menerusi caj yang lebih tinggi.

Menerusi model kapasiti borong 5G, DNB akan bertanggungjawab menyediakan prasarana 5G bagi kegunaan semua syarikat Telco dengan bayaran sewaan yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam tempoh terdekat.

DNB juga tidak dibenarkan menjual spektrum 5G kepada pengguna secara runcit. Dengan kata lain, Telco tidak pun berhadapan persaingan tidak adil dengan DNB atau mana-mana Telco lain kerana jualan dibuat dengan pemantauan dan persetujuan SKMM.

Mengikut perancangan DNB, mereka berupaya menyediakan infra 5G meliputi 80% populasi penduduk negara dalam masa tiga tahun pelaksanaan. Ini jauh lebih baik dengan model 4G di mana para telco mengambil masa terlalu lama untuk meluaskan capaian 4G ke seluruh negara.

Kegagalan Telco ini menyebabkan kerajaan terpaksa memperkenalkan Pelan Jalinan Digital (Jendela) membabitkan kos RM21 bilion bagi meluaskan capaian 4G ke seluruh negara. Malah Telco juga menawarkan kelajuan internet 4G yang sangat minima menyebabkan kerajaan terpaksa memperuntukan bajet bagi menaik taraf infra sedia ada. Laporan pada tahun 2020 menunjukkan kelajuan 4G Malaysia adalah yang terendah di rantau ini.

Lobi syarikat Telco

Bagaimanapun, terdapat lobi dari beberapa syarikat Telco untuk menolak penggunaan platform DNB dan ingin membina sendiri. Cadangan pembinaan infra 5G sendiri ini bertujuan memaksimakan keuntungan dan mengelak tanggungjawab terhadap penggunan secara keseluruhan.

Melalui pembinaan secara sendirian, Telco akan menumpukan di kawasan yang mempunyai potensi pengguna ramai dan mengabaikan kawasan luar bandar. Ia akan mengulangi kegagalan model pembinaan infra 4G. Mereka tidak berminat menyewa kerana mereka terpaksa membayar perkhidmatan yang digunakan oleh pelanggan di kawasan kurang permintaan.

Selain itu, faktor penjanaan pendapatan dan keuntungan melalui pembinaan infra 5G menggunakan pembiayaan bank dan pembinaan oleh syarikat berkaitan telco juga dipercayai menjadi faktor lobi perubahan ini dibuat.

Namun kabinet perlu elihat bahawa membenarkan Telco membuat pinjaman pembinaan infra 5G boleh menjerumus sistem perbankan negara kepada krisis jika mereka tidak mampu membayarnya pada masa hadapan. Kemungkinan keingkaran pembayaran dalam hutang pembinaan 5G sangat tinggi jika setiap Telco bersaing membina secara bersendirian.

Industri telco negara penuh ketidaktentuan. Banyak pelabur meninggalkan industri ini kerana ia tidak lagi beradaya saing. Perbelanjaan tinggi, hutang bertimbun hanya menguntungkan pengurusan syarikat dan pemegang saham utama. Hutang industri Telco terus meningkat dari sekitar RM13 bilion pada 2013 kepada RM20 bilion pada 2020.

Sekiranya semua telco ini berhasrat membina infra 5G bersendirian lagi, hutang industri ini akan terus meningkat sekaligus menimbulkan tanda tanya apakah ia sesuatu yang baik untuk ekonomi negara dan pengguna yang terpaksa menanggung kos 5G yang lebih tinggi.

Perancangan ekonomi negara dalam segmen Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0) juga akan terjejas teruk jika kabinet terpengaruh dengan lobi-lobi mereka yang mahu mengaut keuntungan segera dengan membenarkan pembinaan infra 5G secara bersendirian setiap satu satu telco.

Sebarang perubahan dasar oleh kabinet mengenai cara pelaksanan infra 5G juga mungkin akan menjejaskan kepercayaan pelabur-pelabur teknologi utama seperti Ericsson yang memenangti tender penyediaan peralatan dengan harga terendah berbanding pesaing lain.

Sudah tentu pemberian harga rendah oleh Ericsson ini berdasarkan kiraan pembangunan infra keseluruhan. Sebarang perubahan dasar akan menyebabkan DNB berhadapan hilang kepercayaan penyedia teknologi dan pembiaya pembangunan.

Apakah kabinet akan mengambil risiko mengulangi kelemahan-kelemahan dalam model pembagunan infra 4G?

1 thought on “Pelan 5G Negara diancam Kabinet?”

  1. Perkhidmatan 3G tidak sepatutnya ditamatkan sehingga perkhidmatan 4G ada dan stabil. Ketiadaan 3G telah menyebabkan pengguna di kebanyakan kawasan luar bandar gagal mendapat perkhidmatan 4G (5G jangan kira lah). So, option yang ada adalah berbalik kepada perkhidmatan 2G yang asas.😬

    Kalau dulu boleh lagi nak hantar Whatsapp, akses ke berita online, dll walaupun melalui 3G. Tetapi sekarang hanya boleh call dan SMS saja.

    Menuju ke backward.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *