DRON BERTEKNOLOGI TINGGI BERSEDIA BANTU MANGSA BANJIR

PUTRAJAYA – Sebanyak 20 buah dron kini dalam keadaan bersedia untuk diaktifkan bagi tujuan tinjauan dan penghantaran bekalan penting kepada mangsa banjir yang memerlukan di kawasan-kawasan terjejas.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, dron-dron berkenaan yang mampu membawa muatan sehingga 10 kilogram setiap satu akan turut menjadi pemudahcara akses kepada visual dari udara untuk membantu agensi berkaitan membuat penilaian di lokasi.

“Pasukan Tindakan Kecemasan Khas Perkhidmatan Dron (PTK2Dron) yang ditubuhkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Teknologi Park Malaysia (TPM) akan berfungsi sebagai agensi penyelaras dalam usaha kritikal bantuan banjir di kawasan terjejas.

“Dron-dron ini akan membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menilai keadaan semasa dengan lebih tepat di kawasan terjejas banjir,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Penyelesaian Rawatan Air Teknologi Hijau DeScale di sini hari ini.

Menurut Dr. Adham, TPM bekerjasama dengan syarikat dron VStream, Alphaswift Industries, Aerodyne Group, Meraque Services dan Geo Precision Tech dengan sokongan Persatuan Aktivis Dron Tanpa Pemandu Malaysia (MUDAS) untuk menyediakan perkhidmatan ini.

“Syarikat Aerodyne Group sebelum ini telah diminta oleh kerajaan negeri Selangor untuk menggunakan dron bagi mendapatkan maklumat seperti arah aliran air, mengesan mangsa yang masih terperangkap serta kaedah terbaik bagi pelaksanaan operasi menyelamat di beberapa kawasan yang teruk dilanda banjir.

Dalam pada itu, Dzuleira Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif, TPM selaku agensi yang dilantik sebagai penyelaras utama agensi MOSTI untuk usaha ini, berkata “Kami ingin menyokong petugas barisan hadapan dalam kerja-kerja menyelamat dan bantuan kecemasan menggunakan teknologi dron. Melalui PTK2Dron, kami memudahcara proses diantara pengendali dan penyedia perkhidmatan dron dengan pihak berkuasa berkaitan dalam operasi bantuan, penyelamatan dan pemulihan – serta memastikan taraf keselamatan dan teknikal dicapai,”

Operasi ini juga mampu mengenal pasti punca air banjir lambat surut di beberapa kawasan yang disebabkan oleh saliran yang terhalang.

Bagaimanapun, usaha ini kini sedang menunggu kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum dapat menggerakkan dron diberikan lima syarikat berkenaan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *