Ada Apa Dengan Pelan Pembangunan Rancangan Malaysia?

Oleh Ab Jalil Backer

Isnin ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan Rancangan Malaysia kedua belas (RMK12). Kepada yang tidak begitu memahami, Rancangan Malaysia merupakan pelan pembangunan negara selama lima tahun yang akan menjadi panduan kepada penyediaan belanjawan tahunan, pembangunan infrastruktur, rekayasa sosial dan pertumbuhan ekonomi.

Pembangunan di Malaysia dilaksanakan pada tiga peringkat perancangan. Di peringkat tertinggi, perancangan strategik pembangunan negara adalah berpandukan kepada Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT), Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP), Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan dasar-dasar sektoral yang diluluskan oleh Jemaah Menteri.

Dasar-dasar strategik dan rangka kerja keseluruhan perancangan negara disediakan untuk menentukan hala tuju rancangan pembangunan di peringkat wilayah / negeri dan tempatan.

Di peringkat negeri, perancangan pembangunan adalah berpandukan kepada Rancangan Struktur Negeri (RSN) dan dasar-dasar sektoral yang dirumuskan oleh kerajaan negeri masing-masing dengan mengambil kira dasar-dasar strategik RFN.

Di peringkat tempatan pula, perancangan pembangunan dilaksana dan dikawal dengan rancangan pemajuan seperti Rancangan Tempatan (RT) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT). Rancangan pemajuan memfokuskan kepada pembangunan spatial kawasan-kawasan PBPT dan keperluan masyarakat tempatan. (ruj: Rancangan Fizikal Negara Ke-3, hal. 2)

Secara mudah, negara mempunyai tiga jenis rancangan pembangunan iaitu, pelan jangka pendek, sederhana dan panjang. Rancangan Malaysia merupakan pelan pembangunan jangka sederhana. Manakala Belanjawan tahunan merupakan pelan jangka pendek. Selain itu kita ada RRJP, RFN, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020, Model Ekonomi Baru dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebagai idea-idea rancangan jangka panjang kerajaan.

Evolusi Rancangan Malaysia

Walaupun pembentangan Rancangan Malaysia kali ini adalah yang kedua belas, namun negara telah mempunyai 15 pelan pembangunan lima tahun. Pelan pembangunan lima tahun ini dimulakan oleh pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu yang memperkenalkan Draf Rancangan Pembangunan 1950-1955.

Ia kemudiannya disambung dengan Rancangan Malaya Pertama pada 1956-1960. Sebelumnya Rancangan Malaysia, pelan ini dikenali sebagai Draf Rancangan Pembangunan (1950-1955), Rancangan Lima Tahun Malaya Pertama (RLTM1) 1956 – 1960 dan RLTM2 (1961-1965).

RLTM1 dibentangkan pada Oktober 1956 lebih setahun selepas pilihan raya umum 1955 yang dimenangi oleh parti Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman. Walaupun negara belum merdeka sepenuhnya, proses transisi pengurusan dan pentadbiran negara telah bermula.

Rancangan Malaysia Pertama (RMK1) diperkenalkan pada tempoh 1966-1970 seiring dengan pembentukan Malaysia pada 1963. RMK1 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman pada November 1965 dengan jangkaan perbelanjaan sebanyak RM10.5 bilion.

Dasar Pembangunan Lain

Selain Rancangan Malaysia dan Belanjawan, negara juga mempunyai perancangan jangka panjang. Ia mula diperkenalkan pada 1970 dengan nama Rangka Perancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1) 1971-1990.

Mengambil kira perubahan-perubahan dunia yang pantas, Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) hanya menetapkan selama sepuluh tahun antara 1991 – 2000.  Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) pula diperkenalkan bagi tempoh 2001 – 2010.

Manakala pada 2010, kerajaan menukar nama rancangan jangka panjang kepada sesuatu yang lebih elegan seiring dengan perubahan dunia. Rangka rancangan jangka panjang keempat diberi nama Model Baru Ekonomi (2011 – 2020).

Manakala pada akhir 2020 diperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2021-2030. RMK12 yang akan dibentangkan merupakan penggal pertama dalam menjayakan WKB. -AGENDA MASSA,

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *