RMK12 – Ada Apa Dengan Borneo

Oleh Ab Jalil Backer

Salah satu keutamaan Rancangan Malaysia kedua belas (RMK12) yang dibentangkan bulan lalu ialah untuk menggandakan pertumbuhan negeri kurang membangun terutama di Sabah dan Sarawak.

Dalam pembentangan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan komitmen serius untuk mengurangkan jurang ekonomi dalam negara berdasarkan geografi dengan memberi jaminan untuk memperuntukan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan kepada kepada Sabah, Sarawak, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Fokus ini dibuat kerana negeri-negeri ini dianggap masih ketinggalan dari segi menerima limpahan kemakmuran negara. Seiring dengan rancangan jangka panjang sepuluh tahun Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, RMK12 turut meletakkan sasaran mengurangkan jurang pendapatan wilayah lain dengan Lembah Klang (wilayah Tengah) sebagai indikator.

Tujuan utama fokus ini adalah untuk memastikan kemakmuran negara ini melimpahi segenap lapisan masyarakat dan merentas geografi.

Dalam mengukur pertumbuhan dan kemakmuran rakyat, RMK12 seperti kebanyakan rancangan ekonomi akan mengambil kira indikator Kadar Keluaran Dalam Negari Kasar (KDNK) per kapita. Walaupun tidak sempurna, namun indikator KDNK per kapita boleh dijadikan asas mengukur kemakmuran secara umum.

Dalam memastikan kemakmuran negara ini kembali pulih dan melimpahi wilayah-wilayah lain, RMK12 memberi fokus khusus kepada Sabah dan Sarawak dalam bab tujuh yang bertajuk “Memperkukuh Pembangunan Sosioekonomi di Sabah dan Sarawak”.

Bab ini menyatakan terdapan tujuh kelemahan dan cabaran yang perlu diperbaiki jika kerajaan mahu meningkatkan pertumbuhan ekonomi wilayah ini dan juga pendapatan rakyat.

Tujuh isu dan cabaran utama di Sabah dan Sarawak ialah,

  1. kekurangan infrastruktur dan perkhidmatan;
  2. pertumbuhan ekonomi yang perlahan;
  3. akses kepada pendidikan dan latihan yang terhad;
  4. akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terhad;
  5. cabaran dalam keselamatan dan ketenteraman awam;
  6. cabaran dalam pembangunan inklusif,
  7. kekurangan kerjasama dan ketidakcekapan penyampaian perkhidmatan

Dalam mengatasi permasalahan dan memastikan Sabah dan Sarawak mampu meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negeri, RMK12 mencadangkan lima fokus atau bidang keutamaan iaitu,

  1. memantapkan penyediaan infrastruktur,
  2. mengoptimumkan potensi ekonomi;
  3. menambah baik akses kepada perkhidmatan sosial;
  4. memperkukuh pembangunan inklusif;
  5. dan memperkukuh Kerjasama antara agensi Persekutuan dan Kerajaan Negeri

Sepintas lalu, pertumbuhan ekonomi wilayah ini memerlukan kecekapan infrastruktur asas air, gas dan elektrik; kesalinghubungan antara kawasan pedalaman dan bandar serta antara Sabah dan Sarawak; dan mengecilkan jurang digital antara kawasan.

Justeru RMK12 merancang untuk menaik taraf 1400 km jalan berturap luar bandar  dan menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo serta membina beberapa jambatan bagi mewujudkan kesalinghubungan sistem pengangkutan di kedua-dua negeri tersebut. Kesalinghubungan jalan raya merupakan faktor utama bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Dalam mengecilkan jurang digital, RMK12 memperuntukan RM7.7 bilion iaitu RM3.61 bilion kepada Sabah dan RM4.09 bilion kepada Sarawak melalui pelaksanaan JENDELA. Sehingga Ogos 2021, sebanyak 2,645 infrastruktur digital siap dipasang di Sabah dan 2,117 di Sarawak.

RMK12 juga akan menambah baik bekalan elektrik yang menjadi banyak perbincangan dalam kalangan industri dengan membina loji janakuasa baharu dan menaik taraf talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah. Di Sarawak pula RMK12 meneruskan peruntukan RMK11 dalam pembinaan hidroelektrik Baleh yang dijangka siap pada tahun 2025.

RMK12 juga mensasarkan pembinaan rumah baru dan pembaikan rumah daif di kedua-dua negeri ini yang memberi manfaat kepada 26 ribu isi rumah. Selain itu  pembinaan 26 buah klinik baharu di Sabah dan Sarawak akan dibina di kawasan luar bandar kedua-dua negeri.

Perkara yang sangat positif mengenai Sabah dan Sarawak dalam RMK12 ialah kesedaran kerajaan bahawa pembangunan sosioekonomi di Sabah dan Sarawak memerlukan infra asas yang berkualiti, kesalinghubungan jaringan pengangkutan dan akses digital yang meluas. Ketiga-tiga ini sangat diperlukan bagi merancakkan ekonomi kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sekiranya ia dilaksanakan tanpa ketirisan, tidak mustahil sasaran RMK12 untuk melihat pertumbuhan purata KDNK tahunan Sabah pada kadar 6.5 peratus dan Sarawak pada kadar 5.3 peratus dalam tempoh 2021 hingga 2025 akan berjaya.

*Artikel ini telah diterbitkan dalam Sinar Ahad, 10 Oktober 2021.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *