Memahami pengubahan wang haram, strategi pemulihan aset

Pengubahan wang haram adalah proses menjadikan wang atau aset diperoleh daripada aktiviti haram kelihatan sah. Ia proses mencuci wang ‘kotor’ bagi menyembunyikan sumber asal wang berkenaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa menguatkuasakan pemulihan aset yang dicuri melalui Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Sejak kebelakangan ini, banyak salah faham mengenai kegunaan kompaun sebagai satu strategi bagi pemulihan aset menggunakan akta terbabit.

Dalam pemikiran biasa, seseorang didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram perlu dihukum dengan hukuman penjara, denda yang tinggi serta pemulihan keseluruhan aset dicuri.

Namun, realiti jauh lebih rumit. Pemulihan wang haram menjadi lebih rumit disebabkan perubahan modus operandi penjenayah yang beroperasi dalam sindiket dan mengubah hasil pendapatan haram mereka melalui syarikat yang didaftar secara sah dengan wakil serta penama sebagai topeng untuk menyembunyikan harta mereka.

Sememangnya, rasuah berubah daripada ‘duit kopi’ kepada rasuah ‘di bawah meja’ kemudian gratifikasi ‘melangkaui meja’ sehingga menjadi transaksi kewangan rentas sempadan yang bertambah kompleks.

Selalunya, ia dilakukan melalui transaksi kewangan yang kelihatan sah sementara hasil pendapatan haram dibelanjakan atau digunakan untuk tujuan sah atau haram bagi meningkatkan lagi hasil pendapatan.

Ia juga boleh diderma kepada pertubuhan amal atau dijadikan sebagai bayaran untuk perkhidmatan atau pembelian yang sah atau bagi tujuan pembiayaan politik. Kerumitan dan kecairan pengubahan wang haram menjadikan pemulihan aset lebih mencabar.

Kepentingan akta pengubahan wang haram, AMLATFPUAA 2001 adalah pemulihan aset untuk dipulangkan kepada pemilik mereka. Di sini, kita perlu faham inti pati atau semangat akta pengubahan wang haram yang berbeza daripada akta lain.

Ia berbeza dari segi semangat Kanun Keseksaan yang digunakan untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman setimpal bagi mencegah penjenayah baharu.

Walaupun elemen itu juga penting dalam AMLATFPUAA 2001, ia mengambil jalan lebih praktikal dengan pemahaman, bahawa jika penguat kuasa boleh menyita serta mengembalikan aset yang dicuri, nescaya sindiket yang beruntung daripada hasil pendapatan haram itu dapat dilumpuhkan.

Andainya seseorang pesalah dituduh atas kesalahan pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda, ada kemungkinan pendakwaan kes berkenaan mengambil beberapa tahun lamanya untuk membuktikan dengan tanpa keraguan kesalahan pesalah terbabit.

Pesalah itu juga boleh terlepas atas faktor teknikal ketika proses rayuan yang panjang. Atau mungkin pesalah itu berjaya disabitkan dan dipenjarakan beberapa tahun. Apabila dibebaskan, tidak mustahil bahawa dia masih boleh mengakses duitnya yang sudah diubah dan dilabur secara sah melalui wakilnya.

Sebaliknya, ada beberapa strategi yang boleh diambil untuk pemulihan aset dengan menggunakan AMLATFPUAA 2001. Antaranya, pendakwaan jenayah, pelucutan sivil, denda kompaun, pemulihan aset kepada pemilik sah dan pemulihan aset daripada orang yang melarikan diri.

Pemilihan strategi yang bakal digunakan bergantung kepada kesesuaian, keseimbangan risiko, kebolehan untuk mengumpul bukti dan saksi yang bergantung kepada perjanjian rentas sempadan dan lain-lain faktor yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan memulihkan aset.

Dalam kes mengenakan kompaun untuk pemulihan aset, AMLATFPUAA tidak perlu membuktikan tanpa keraguan bagi menawarkan pembayaran denda kompaun kepada tertuduh.

Kesalahan kompaun sama sekali tidak menyatakan bahawa tertuduh itu tidak bersalah. Ia tindakan punitif dan tindakan membayar kompaun berkenaan adalah satu pengakuan kesalahan.

Strategi ini menjimatkan kos dan masa mahkamah dengan pemulihan sebahagian aset yang dipertikaikan tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang. Namun, jika tertuduh gagal membayar kompaun berkenaan, dia boleh didakwa dalam perbicaraan penuh dalam mahkamah.

Pada peringkat global, kadar kejayaan untuk pemulihan aset pengubahan wang haram ialah 30 peratus. Disebabkan cabaran besar untuk mendakwa dan memulihkan aset yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Malaysia menjadi terkenal berhadapan dengan satu daripada skandal kewangan terbesar dunia.

Sehubungan ini, saya kagum menyatakan SPRM berjaya mencapai tahap 45 peratus dalam pemulihan aset, atau RM21 bilion dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas Antarabangsa mengenai pemulihan aset dan pendakwaan 1MDB.

Ahli pasukan ini terdiri daripada Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Perancis, Singapura, Switzerland dan Luxembourg.

Pasukan Petugas Khas 1MDB ini menyelaraskan usaha pemulihan aset, perkongsian maklumat dan bukti, membincangkan strategi terbaik dalam mendepani 1MDB pada peringkat antarabangsa dan mengembangkan beberapa petunjuk baharu berkaitan kes berkenaan.

Strategi kami juga selari dengan standard dan dasar antarabangsa Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCAC) dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Diiktiraf sebagai negara peneraju dalam pemulihan aset antarabangsa, pada tahun ini, Malaysia dijemput berkongsi pengalaman dan memberi input pada seminar dianjurkan Bank Dunia, Persatuan Pakar Bertauliah Anti-Pengubahan Wang Haram (ACAMS) dan Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA).

Pada peringkat dalam negara, SPRM masih terus memulihkan aset berkaitan 1MDB dengan menggunakan AMLATFPUAA 2001. Antaranya daripada 80 individu dan entiti yang dikenakan notis kompaun kerana menerima dana berjumlah RM420 juta daripada 1MDB.

SPRM akan terus melihat penyelesaian kompaun terbabit serta cabaran terhadapnya oleh individu yang dikenakan notis pada 2019. Kes baru-baru ini yang membabitkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, adalah satu contoh.

Beliau dikenakan kompaun pada Oktober 2019, namun memilih dibicarakan di mahkamah pada masa itu. Beliau kemudian didakwa dengan dua pendakwaan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(c) AMLATFPUAA 2001 pada 20 Januari 2020 dan mengaku tidak bersalah.

Ketika tempoh perbicaraan dijalankan, beliau mengemukakan representasi dan bersetuju semula untuk membayar kompaun terbabit. Perlu ditekankan bahawa kompaun berkenaan ialah tindakan punitif dan satu bentuk pemulihan aset di bawah akta terbabit.

Masyarakat patut mengelak daripada membuat spekulasi bahawa individu terbabit dilepaskan dengan mudah. Ini bukan isu politik. Ini faktor teknikal undang-undang yang didasari dalam semangat akta berkenaan yang bertujuan pemulihan aset supaya ia boleh dipulangkan semula kepada rakyat.

  • Mohamad Zamri Zainul Abidin adalah Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *