Di sebalik pelbagai kritikan kepada kerajaan, Malaysia telah berjaya membuka sektor ekonominya selama lebih 10 bulan sebelum memulakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat sejak 1 Jun lalu.
Tempoh panjang ini walau dengan pelbagai SOP adalah usaha kerajaan membolehkan sektor ekonomi negara terus berfungsi dan memberi sedikit peluang bernafas kepada usahawan pelbagai peringkat.
Negara membesarkan kemampuan fasiliti perubatannya dari hanya mampu merawat sekitar 5000 pesakit Covid-19 pada satu-satu masa kepada lebih 80,000 orang pada masa kini. Dari jumlah 400 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) pada Mac 2020, kini menjadi 800 unit.
Kemampuan melakukan saringan covid-19 juga meningkat dengan banyak dari hanya beberapa ribu ujian sehari pada Mac 2020 kini negara mampu melakukan 70,000 ujian sehari.
Malaysia sudah hampir diambang pemulihan penuh sekiranya tidak berhadapan kemunculan Covid-19 varian delta yang begitu cepat merebak. Sejak sebulan lalu negara masih mencatatkan jumlah purata positif covid-19 mingguan sekitar 7000 kes sehari dan 90 kematian sehari.
Ini bukan masalah Malaysia sahaja, varian delta menyerang seluruh dunia dan memberi kesan teruk kepada negara-negara yang belum mendapat kekebalan kelompok.
Bagaimanapun bagi Malaysia PKP yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu telah menampakkan hasil di seluruh negara kecuali Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Mulai 5 Julai lalu lima negeri – Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Sabah pula memasuki fasa dua PPN pada 10 Julai lalu.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negeri berkenaan memenuhi indikator nilai ambang kes harian terbaru, penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar vaksinasi.
PKPD Selangor dan Kuala Lumpur
Lembah Klang adalah benteng terakhir perang menentang Covid-19 ini. Di sinilah pusat segala kegiatan ekonomi utama negara. Ia menjadi seperti jantung kemajuan negara.
Kini keadaan di Lembah Klang terlalu kronik memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa mukim di Selangor dan lokaliti tertentu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 2 – 16 Julai 2021.
Selangor dan Kuala Lumpur sahaja kini mencatatkan 6 ribu kes sehari menjadikan jumlah kesluruhan kes harian negara sekitar 9 ribu kes. Setelah lebih sebulan mengadakan PKP dan hampir 14 hari melaksanakan PKPD, keadaan di Lembah Klang masih serius.
Jumlah kes harian di kawasan ini mencatat sekitar 6 ribu orang positif sehari. Angka ini mewakili hampir 60% angka harian nasional. Ia menimbulkan kebimbangan awam bawa jalan pemulihan negara masih jauh dan sukar.
Namun peningkatan kes ini memang dijangka memandangkan kerajaan menjalankan saringan besar-besaran di kawasan PKPD. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sebanyak 25,005 saringan telah dijalankan pada 6 Julai berbanding 19,614 pada 5 Julai dan ujian saringan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Kerajaan dijangka akan melanjutkan PKPD Selangor dan Wilayah Persekutuan selama 14 hari lagi sebaik tamat tempoh PKPD pada 16 Julai ini. Lanjutan ini tidak dapat dielakkan jika bagi membolehkan varian ini dikawal, jumlah disaring lebih ramai dan jumlah kebolehjangkinan diturunkan dengan mendadak.
Bagaimanapun lanjutan PKPD ini jangka yang terakhir untuk Selangor dan Kuala Lumpur. Angka jumlah jangkitan harian ini akan menurun apabila saringan besar-besaran telah berjaya diselesaikan dalam bulan Julai ini.
Kebarangkalian untuk Selangor dan Kuala Lumpur memasuki Fasa kedua Pelan Pemulihan Negara Ogos ini sangat cerah jika proses vaksinasi tidak berhadapan rintangan.
Pertarungan Terakhir
Sama ada sedar atau tidak, kita kini sedang berada dalam fasa terakhir peperangan menentang pandemik Covid-19.
Jika dilihat jumlah jangkitan harian ketika ini mencecah 9 ribu sehari memang ramai kecewa, cemas dan marah. 60% daripada kes harian bertumpu di Lembah Klang akibat saringan besar-besaran adalah langkah berani kerajaan untuk mengesan dan mengawal penularan ini. Namun orang ramai yang tidak memahami kaedah merasa marah dan kecewa. Ini adalah realiti yang terpaksa diterima kerajaan buat sementara waktu.
PKP, PKPD dan semua SOP adalah langkah pembendungan sementara. Satu-satunya strategi keluar paling utama ialah vaksinasi. Pelan Pemulihan Negara bergantung sepenuhnya kepada kepantasan kadar vaksinasi. Sehingga semalam 12 Julai 2021, hampir 25% penduduk negara ini telah mendapat sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin. Manakala 11% populasi negara ini telah mendapat imunisasi penuh (dua dos).
Berdasaran kadar vaksinasi ini dan tempoh jangka masa tiga minggu untuk dos kedua (kecuali vaksin AstraZeneca 9 minggu), dijangka 20% populasi negara akan mencapai imunisasi penuh pada awal Ogos.
Bagi Lembah Klang yang menjadi nadi ekonomi negara, sehingga Jumaat lepas Kuala Lumpur telah hampir mencapai 100% vaksinasi dos pertama. Manakala Selangor pada kadar 22.5%.
Menjelang akhir bulan ini Selangor dijangka boleh mencatat kadar vaksinasi dos kedua sebanyak 20% dan kadar vaksinasi dos pertama sekitar 40%.
Angka ini sepatutnya mencukupi untuk membawa kawasan ini ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.
Berdoalah ini sistem perkhidmatan kesihatan kita tidak lumpuh dalam pertarungan terakhir kita menentang pandemik Covid-19