Pelepasan 6 bulan bagai oksigen ekstra

Syarifah Dayana Syed Bakri

PERABOT baharu, kereta baharu, gajet baharu atau ubah suai kediaman. Itu mungkin antara pilihan yang bermain dalam fikiran segelintir daripada kita apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan moratorium selama enam bulan untuk pinjaman atau pembiayaan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Namun, ada antara kita, wang lebihan itulah akan digunakan untuk meneruskan hidup dan memastikan anak-anak tidak keputusan makanan.

Saya yakin sebahagian besar daripada kita memilih langkah bijak dengan memanfaatkan pemberian moratorium itu untuk persediaan menghadapi masa depan dalam era pandemik ini.

Pada tahun lalu, buat pertama kalinya Malaysia melaksanakan pemberian moratorium selama enam bulan kepada semua peminjam secara automatik – satu-satunya negara yang berbuat demikian. Langkah berkenaan memberi impak kewangan sebanyak RM100 bilion.

Ia dilaksanakan ketika Malaysia berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0. Selepas kes Covid-19 merekodkan penurunan dan sektor ekonomi perlahan-lahan kembali rancak, sebahagian peminjam mula menyambung semula pembayaran namun, ada yang masih belum mencapai pendapatan stabil.

Maka, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan inisiatif bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar – khusus untuk mereka yang pendapatannya masih terjejas. Antara pilihan yang diberi adalah mengurangkan bayaran bulanan dan memanjangkan tempoh pembiayaan.

Langkah ini bukanlah tindakan asing dalam sektor kewangan kerana negara lain turut melaksanakan kelonggaran sama.

Singapura misalnya, melalui Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) turut menawarkan bantuan pembayaran semula bagi warganya yang terjejas.

Langkah yang mula diperkenalkan tahun lalu, dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

Malah, peminjam yang masih gagal meneruskan pembayaran penuh selepas tamat tempoh ditetapkan diberi peluang berbincang dengan bank untuk pilihan bersesuaian.

Di saat Singapura mula merekodkan kes jangkitan Covid-19 satu digit, keadaan berbeza berlaku di negara kita apabila berterusan mencatatkan lonjakan kes baharu hingga memaksa pelaksanaan PKP 3.0.

Ini bermakna, sebahagian daripada kita yang baru merangkak untuk menstabilkan pendapatan akibat kesan pandemik tahun lalu, kembali terduduk kerana kehilangan pendapatan berikutan terdapat sektor tidak dapat beroperasi.

Tiada kerja, tiadalah pendapatan. Sedangkan ada mulut di rumah yang menanti untuk disuap.

Maka, kerajaan melalui pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) mengumumkan beberapa langkah termasuk pelaksanaan moratorium enam bulan untuk pinjaman atau pembiayaan individu dan PKS.

Ini bermakna, ia adalah kali kedua kerajaan memperkenalkan moratorium bayaran balik pinjaman dan pembiayaan secara automatik.

Maklumat lanjut mekanisme pelaksanaannya hanya akan diumumkan pada 7 Julai nanti namun, berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ia sama seperti tahun lalu di mana bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penalti lewat bayar kepada peminjam yang memohon moratorium.

Bagi mereka yang terjejas pendapatan, pelepasan pembayaran selama enam bulan ini umpama oksigen tambahan. Sekurang-kurangnya keluarga masih cukup makan untuk tempoh ini.

Bagi mereka yang masih mempunyai pekerjaan dan tidak berdepan pengurangan gaji, sebaik-baiknya teruskan pembayaran seperti biasa.

Namun, jika mahu merasa ‘bonus rekaan sendiri’ selama enam bulan, maka pastikan dana kecemasan dipenuhkan terlebih dahulu.

Penulis kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad mencadangkan agar memenuhkan dana kecemasan atau wujudkan dana berkenaan sekiranya tidak pernah ada sebelum ini.

Selain itu, ambillah peluang ini untuk menyelesaikan hutang lain yang tidak termasuk dalam moratorium seperti kad kredit atau pajakan barangan kemas di ar-Rahnu.

Ini bukanlah masa terbaik untuk mengubah suai kediaman atau menambah hutang baru kerana apa yang paling utama ketika ini adalah mempunyai wang untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Bagi yang masih menerima gaji bulanan, tambahkanlah jumlah sedekah dan bantulah peniaga kecil yang mungkin keuntungan jualan hanya cukup untuk membeli susu anak mereka.

Dalam keadaan sekarang slogan ‘kita jaga kita’ ternyata sangat relevan. Itulah yang perlu kita pegang ketika ini. Tanyalah khabar ahli keluarga, sapalah rakan lama dan jenguklah jiran kita manalah tahu ada yang menggantung bendera putih.

Seperti peribahasa, sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk. Bergandinglah kita menjaga sesama kita.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *