Krisis Kepercayaan Terhadap Presiden UMNO Meruncing

Krisis kepercayaan terhadap Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi bermula dengan episod ‘Jajaran Baru’. Sekalipun idea ‘Jajaran Baru’ ini dilabelkan sebagai ‘fitnah’ oleh pro-presiden, anehnya idea tersebut terpacul dari mulut Presiden UMNO itu sendiri pada 6 Disember 2020.

Bermula dari saat itu, gelora politik dalam UMNO berterusan apabila wujud pula pendedahan bahawa Zahid telah menulis surat kepada Yang Di-Pertuan Agong menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“I have numbers, strong, formidable dan convincing!”

Tindakan Zahid itu telah menyebabkan tindakbalas dari beberapa ahli Parlimen UMNO yang mendakwa bahawa mereka tidak tahu menahu tentang sokongan kepada Anwar Ibrahim.  Ini menyalahi apa yang dimaktubkan sewaktu Perhimpunan Agong UMNO 2020, iaitu ‘No Anwar, No DAP’.

Kemudian, muncul pula audio ‘Cikgu’ yang menjadi topik perbualan hangat. Presiden UMNO, dengan dukacitanya menafikan bahawa suara di dalam rakaman tersebut bukanlah suara beliau dan ianya merupakan satu fitnah.  Pun begitu, tiada pula laporan polis dibuat oleh ‘cikgu’ atau ‘anak murid’, jika benar ianya satu fitnah.

Belum pun reda isu audio tersebut, ahli UMNO dikejutkan dengan pengakuan oleh Ahli Parlimen Jerantut (UMNO), bahawa beliau telah menandatangani SD menyokong Anwar Ibrahim.  Apa sudah jadi dengan ‘No Anwar, No DAP’?

Apabila mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO diadakan pada 7 Julai 2021 sebenarnya sangat signifikan kepada ahli UMNO akar umbi. Mereka berharap agar segala kekusutan yang melanda dapat dileraikan, terutamanya tentang ‘status’ Ahli Parlimen UMNO.  Adakah mereka mendapat restu parti untuk terus berada di dalam kerajaan, atau sebaliknya.

Malangnya, sidang khas oleh Presiden UMNO, sejurus selepas tamat mesyuarat tersebut tidak menjawab persoalan yang menjadi kegusaran ahli UMNO di peringkat akar umbi.

Akibatnya, ia mewujudkan persepsi bahawa ahli-ahli Parlimen UMNO adalah pengkhianat parti sehinggalah muncul audio yang jelas, bahawa keputusan pertama di dalam mesyuarat tersebut ialah parti memberi kebebasan penuh kepada ahli-ahli parlimen UMNO samada untuk menyokong atau tidak menyokong usul di parlimen kelak. Ini bermakna parti memberi restu kepada ahli-ahli Parlimen UMNO untuk terus berada di dalam Perikatan Nasional. Mereka bukanlah pengkhianat seperti yang didakwa.

Apa pun tanggapan tentang pendedahan audio keputusan Mesyuarat Tertinggi UMNO, ianya adalah bukti bahawa krisis kepercayaan terhadap Presiden sedang meruncing.  Suka atau tidak, pihak yang merakamnya seolah-olah tahu bahawa akan ada sesuatu yang bakal terjadi, dan mengambil langkah pencegahan agar kebenaran itu tidak separa benar.

Isu membocorkan rahsia tidak akan timbul sekiranya apa yang diumumkan sama seperti apa yang diputuskan di dalam mesyuarat. Samada Zahid ingin terus bermain politik, atau ianya terjadi hasil dari ketidakcekapan pegawai-pegawai beliau dalam menafsirkan apa yang akar umbi nantikan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *