Ahli Parlimen UMNO perlu jadi Jebat dalam menentang Zahid!

NASIB malang UMNO datang bertimpa sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). UMNO bukan sahaja hilang kuasa sebagai tonggak kerajaan, malah Presiden dan bekas presidennya diheret ke mahkamah atas beberapa salah laku ketika menerajui kerajaan.

UMNO bernasib baik kerana dapat kembali menumpang kuasa setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh hasil kesedaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan-rakan di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PKR mengenai bahaya kerajaan PH yang didominasi oleh DAP.

Begitupun, ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh UMNO sedang bertungkus-lumus menangani ancaman wabak Covid-19, pelbagai polemik yang kemudiannya berlarutan menjadi kemelut politik telah dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin tertentu UMNO termasuklah Presidennya dengan mengemukakan pelbagai alasan tidak munasabah.

Paling sering didendangkan ialah kerajaan PN mengenepikan UMNO dalam pentadbiran negara sedangkan 14 ahli Parlimen parti tersebut dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri manakala ramai pemimpin lain diberikan berbagai jawatan kerajaan lain.

Selepas mendapati Muhyiddin bertegas tidak mahu mencampuri urusan mahkamah, mereka mula mendakwa kerajaan gagal menangani wabak Covid-19 dan mengabaikan kebajikan rakyat dan yang terbaru, menuduh kerajaan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Naratif buruk dan berniat jahat yang dicipta oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan penyokong-penyokongnya terhadap kerajaan ini adalah bertujuan mewujudkan momentum penentangan yang sealiran dan senada dengan parti-parti pembangkang.

Namun, kemelut politik semasa dalam UMNO hari ini sebenarnya memperlihatkan kelemahan kepimpinan Ahmad Zahid sebagai Presiden yang tidak mampu lagi mengemudi parti dan memerlukan pertimbangan segera pemimpin-pemimpin utama bagi menyelamatkan parti daripada berhadapan kemusnahan yang lebih dahsyat menjelang PRU-15.

Makluman Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) semalam bahawa keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan adalah tidak sah kerana ia dibuat setelah tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu memberi pukulan terbaru yang boleh menggoncangkan kedudukan UMNO.

Susulan makluman ROS ini, telah timbul beberapa pertikaian mengenai keabsahan status Majlis Kerja Tertinggi (MKT), kepimpinan dan keputusan-keputusan parti yang telah dibuat sejak selepas 30 Jun lalu.

Pemimpin-pemimpin UMNO diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Naib Presiden UMNO terkanan perlu mempertimbangkan langkah memperbetulkan semula dan memperbaiki parti sebelum terlambat sehingga berpotensi menghancurkan masa depan parti berkenaan.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri mampu berperanan sebagai penyelamat dan menyatukan semula parti yang telah dirosakkan oleh pemimpin-pemimpin yang mempunyai agenda politik peribadi.

Malah kedudukan Ismail Sabri sebagai pemimpin nombor dua dalam kerajaan mewakili UMNO dilihat mampu mengembalikan keyakinan ahli-ahli dan membina semula parti menerusi hala tuju baharu yang bersih daripada kes-kes mahkamah agar lebih dihormati oleh kawan dan lawan.

MENONGKAH ARUS

Ismail Sabri bersama-sama pemimpin-pemimpin UMNO yang menongkah arus tidak perlu takut kerana bukan sahaja ahli-ahli parti, malah rakyat yang tidak menjadi ahli kepada UMNO akan menyokong mereka sebagai pemimpin berjasa besar kerana berani menjaga kestabilan politik dan kebajikan mereka ketika berhadapan kemelut wabak Covid-19.

Malah pada ketika ini, pemimpin-pemimpin UMNO tersebut perlu memperlihatkan sikap kepahlawanan sebenar Melayu untuk menentang kerosakan yang dilakukan oleh Presiden kepada parti sehingga sanggup memperjudikan kehidupan rakyat demi kepentingan politik dan peribadi.

Tiada apa yang mereka perlu takuti untuk menentang Ahmad Zahid kerana keputusan MKT untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan PN adalah tidak sah, tidak mengikat ahli-ahli Parlimen UMNO dan tindakan disiplin tidak boleh diambil ke atas mereka jika mereka tidak mematuhinya dan mengundi menyokong Perdana Menteri di Parlimen.

Hendak tidak hendak, UMNO perlu patuh kepada ketetapan RoS jika tidak mahu berhadapan dengan kemungkinan diharamkan, ia wajib mengadakan pemilihan parti tahun ini.

Apa akan jadi kepada Ahmad Zahid jika pemilihan parti diadakan? Mungkinkah Ismail Sabri akan bertanding jawatan Presiden UMNO? Dan dengan kedudukan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri, bukankah Ismail Sabri akan mempunyai kelebihan untuk mengalahkan Ahmad Zahid?

Sebaliknya, jika ahli-ahli Parlimen UMNO memilih untuk tidak menyokong usul percaya kepada Muhyiddin, bukan sahaja Muhyiddin yang perlu meletakkan jawatan, tetapi seluruh jemaah Kabinet termasuk menteri-menteri dari UMNO juga perlu meletakkan jawatan.

Mungkin inilah yang sebenarnya strategi politik Ahmad Zahid, mahukan Ismail Sabri dan menteri-menteri UMNO yang lain jatuh supaya Ismail Sabri dan menteri-menteri UMNO ini tidak mempunyai apa-apa kelebihan berbanding dirinya dalam persaiangan merebut jawatan Presiden UMNO.

Tetapi apakah untungnya kepada UMNO jika mereka membuat pilihan untuk menolak Muhyiddin dan kerajaan PN? Ke mana hala tuju mereka selepas itu dengan hanya 38 kerusi? Hendak membentuk kerajaan baharu dengan DAP dan PKR pastilah tidak mungkin kerana ia sudah ditolak parti itu.

Mereka perlu berani menjadi Hang Jebat yang derhaka kepada Presiden yang tidak betul, apa lagi bila sekarang Presiden ini sudah tidak ada kuasa lagi setelah taringnya tercabut oleh kebebalan diri sendiri sehingga menyebabkan RoS terpaksa bertindak.

Tiada apa yang perlu mereka takutkan lagi kepada Ahmad Zahid. Jika alasan mereka takut kepada Ahmad Zahid ialah kerana takut beliau tidak akan memberi watikah sebagai calon dalam PRU-15, sekarang ini Zahidlah yang perlu takut kerana yang akan memberi watikah selepas ini ialah Ismail Sabri!

DR. Mohammad Tawfik Yaakub ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya.

Sumber: Utusan Malaysia

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *