Tindakan Ketua Pengarah LHDN salah dan tidak munsabah, putus Hakim Mahkamah Tinggi dalam kes balu Tun Daim

Balu Daim, Na’imah berjaya ketepikan tuntutan cukai RM313.8 juta

SHAH ALAM — Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan tindakan Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai tambahan RM313.8 juta terhadap balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, sebagai menyalahi undang-undang dan tidak munasabah.

Hakim Evawani Farisyta Mohammad membuat keputusan itu ketika membenarkan permohonan semakan kehakiman Na’imah bagi mengetepikan tuntutan cukai tambahan berkenaan.

Menurut hakim, tindakan mengenakan cukai bagi tahun taksiran 2018 adalah tidak rasional kerana tiga hartanah di luar negara yang menjadi pertikaian telah diperoleh pada 1990-an.

Mahkamah turut mendapati undang-undang hanya membenarkan cukai dikenakan terhadap pendapatan yang diperoleh di Malaysia, sedangkan aset berkenaan diperoleh oleh Daim di Amerika Syarikat.

Justeru, tindakan kerajaan mengenakan cukai terhadap aset terbabit adalah tidak sah.

Kes itu berpunca daripada dakwaan LHDN bahawa Na’imah gagal mengisytiharkan pendapatan yang digunakan untuk memperoleh dan dijana daripada tiga hartanah, iaitu Nantasket Beach Resort, Chauncy Place dan Hotel Buckminster.

Ketiga-tiga hartanah tersebut dilaporkan bernilai AS$178 juta atau lebih RM700 juta.

Daim dan Na’imah, yang memilih taksiran cukai bersama, sebelum ini telah menjelaskan cukai tambahan berjumlah RM31.498 juta bagi tahun-tahun taksiran 2017, 2018 dan 2019 pada November 2023.

Hakim menyatakan tuntutan tambahan selepas pelupusan ketiga-tiga hartanah itu boleh dianggap sebagai cukai berganda.

Evawani Farisyta turut memutuskan tindakan menghendaki Na’imah mengemukakan dokumen pemerolehan aset yang berusia antara 20 hingga 30 tahun sebagai tidak logik, menyalahi undang-undang dan tidak munasabah.

Ini kerana Akta Cukai Pendapatan hanya mewajibkan seseorang pembayar cukai menyimpan rekod atau dokumen percukaian selama tujuh tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan semakan kehakiman Na’imah tanpa sebarang perintah berhubung kos.

Na’imah dalam kenyataan menerusi peguamnya, Datuk S Saravana Kumar, berkata keputusan itu membuktikan pendiriannya sebagai pembayar cukai yang bertanggungjawab dan warganegara yang mematuhi undang-undang.

“Keputusan hari ini menunjukkan bahawa badan kehakiman merupakan cabang yang boleh menjadi tempat pembayar cukai bergantung apabila berlaku penyalahgunaan kuasa awam,” katanya.

Na’imah memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada 22 April tahun lalu bagi mencabar arahan LHDN bertarikh 13 Ogos 2024.

Beliau memohon arahan itu dibatalkan atas alasan ia menyalahi undang-undang, melangkaui bidang kuasa LHDN dan tidak munasabah.

Na’imah juga berhujah bahawa Akta Cukai Pendapatan berasaskan prinsip percukaian wilayah, iaitu hanya terpakai terhadap pendapatan yang diperoleh atau diterima di Malaysia.

Daim, yang pernah dua kali menjadi Menteri Kewangan, meninggal dunia pada November 2024.

Leave a Comment