Selepas 227 Hari, Parlimen Kembali Riuh!

SUDAH enam bulan atau lebih tepat, 227 hari pintu Parlimen tidak dibuka. Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak digunakan sejak tempoh tersebut. Semuanya dek kerana penularan wabak Covid-19 yang kian meruncing. Ia memaksa pemerintah melakukan ‘lockdown’ seketika institusi mulia pancang seri sistem demokrasi berkenaan.

32 juta rakyat Malaysia memandang penuh harapan terhadap sidang Dewan Rakyat kali ini kerana ia meletakkan fokus kepada permasalahan pandemik Covid-19 dan impak negatif daripadanya.

Namun, malangnya jiwa dan perasaan rakyat sekali lagi seolah-olah dipermainkan dan tidak dipedulikan oleh sesetengah ahli Parlimen. Pada 30 minit pertama Dewan Rakyat dibuka, sudah nampak kelibat beberapa ahli Parlimen khususnya dari blok pembangkang yang cuba ‘menganggu’ dan membuat kecoh ketika Speaker Dewan mahu memulakan rentak persidangan.

Semporna nemulakan ‘ketidaksempurnaan’

Selepas kira-kira 10 minit Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun membuka sidang, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal  bangun meminta penjelasan lanjut mengenai Perkara 11 status atau prosedur persidangan selama lima hari ini, sama ada ia selaras dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong ataupun tidak.

Presiden Parti Warisan Sabah itu juga meminta penjelasan sama ada persidangan kali ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan (Artikel 62) ataupun sebaliknya kerana sidang kali ini tiada sebarang perbahasan dan pengundian seperti kebiasaan.

Seterusnya bangkit pula Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Ahli Parlimen Langkawi, Ahli Parlimen Jelutong dan Ahli Parlimen Puchong mempertikaikan cara prosedur persidangan kali ini dijalankan.

Ia membuatkan Dewan mula kecoh dan mendorong ramai netizen yang menonton melalui siaran secara langsung di media sosial menggelar sesi Dewan Rakyat sebagai ‘pasar’, ‘sarkas’ dan seangkatan dengannya.

Bila dikira-kira, lebih kurang 20 ahli Parlimen pembangkang bangun dan mempersoalkan pelbagai perkara sehingga menyebabkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan ucapannya selepas 1 jam 35 minit Dewan dibuka.

“Terjerit-jerit” ketika Dewan membaca al-Fatihah

Kemuncak kepada kekecohan ini apabila Perdana Menteri mengajak semua membaca surah al-Fatihah dan bertafakur seketika bagi mengenang 7,994 mangsa kematian akibat Covid-19 (setakat 25 Julai 2021). Ada dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang yang tetap ‘terjerit-jerit’ meminta diberi laluan.

Antara yang jelas berbuat demikian adalah ahli-ahli Parlimen DAP seperti Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo dan Nga Kor Ming.

Ada Yang Berkualiti

Namun, tidak dinafikan masih ada ahli Parlimen yang berhujah dengan kualiti dan benar-benar mahu mencari solusi terhadap nasib rakyat.

Antara yang jelas terlihat ialah pada sesi petang apabila Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menyentuh isu berkaitan nasib 23,000 doktor kontrak, peranan hospital swasta, syarikat insurans dan kolaborasi semua wakil rakyat dan kementerian/agensi kerajaan dalam mengawal penularan Covid-19.

Idea ini turut disambut baik oleh beberapa ahli Dewan yang lain seperti Ahli Parlimen Jempol dan Ahli Parlimen Semporna.

Tak Nak Zafrul

Di akhir sesi, Speaker Dewan Rakyat menjemput Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menjawab. Namun, susuk tubuh berkenaan telah ditolak oleh ahli-ahli dari Pakatan Harapan (PH). Mereka mahukan Perdana Menteri yang tampil menjawab.

“Di mana Perdana Menteri?, Kita perlukan Perdana Menteri untuk menjawab…” antara soalan dan ‘jeritan-jeritan’ mereka dari PH. 

Ahli-ahli Parlimen dari PH juga cuba melakukan provokasi ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut berada dalam Dewan pada ketika itu.

Pak Long Mail bangun

Mungkin pada fikiran ahli-ahli Parlimen PH, provokasi yang dilontarkan kepada Ismail Sabri akan mengganggu keabsahan kepimpinan kerajaan semasa. Namun, masing-masing terdiam seketika apabila secara tiba-tiba Ismail Sabri bangun dan menjawab setiap provokasi daripada pembangkang.

Tidak pernah berlaku sebelum ini, seorang Timbalan Perdana Menteri bangun mencabar egois mereka yang melontarkan provokasi. Tetapi tidak bagi Ismail Sabri atau Pak Long Mail ini.

Beliau bangun dan menjelaskan, “tajuk yang kita bincangkan hari ini ialah Pelan Pemulihan Negara (PPN)…tetapi (PH) bercakap luar daripada tajuk yang dibincangkan. Jadi, Menteri Kewangan adalah Penyelaras PPN, sebab itulah Menteri Kewangan menjawab. Sebagai Penyelaras Majlis Pemulihan Negara…”

Kesimpulannya, dari pagi membawa ke petang, sidang Dewan Rakyat pada hari pertama ini penuh dengan suara-suara provokatif. 

Namun, rakyat kebanyakan masih berharap agar 220 ahli Parlimen akan memperbaiki mutu persidangan untuk hari-hari berikutnya. Kita mahukan Parlimen membentuk tanggungjawab kolektif dalam isu kesihatan, ekonomi, pendidikan dan sosial rakyat negara ini.

Kembalilah semula kepada nawaitu asal – bersidang untuk mencari kata sepakat paling ideal dalam membawa negara berjaya melawan Covid-19. 

SARFARIZMAL MD. SAAD, Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA). 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *