Rungkai Asal Usul COVID-19 Berdasarkan Sains

PANDEMIK COVID-19 kini terus merebak serata dunia dan sehingga kini sudah meragut lebih 4.4 juta nyawa daripada lebih 200 juta mangsa yang dijangkiti virus itu.

Keadaan ini menjadikannya penyakit berjangkit yang paling dahsyat abad ini. Demi menewaskan COVID-19, manusia perlu memahami virus ini terlebih dahulu.

Sejak peringkat awal penularan wabak ini, China bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam usaha pencarian asal usul COVID-19 dan berkongsi maklumat penjujukan genom virus secara serta-merta.

Pasukan pakar WHO juga dua kali diajak ke China bagi menjalankan kajian asal usul COVID-19, di mana China memberikan sokongan penuh kepada pasukan pakar itu termasuk membawa mereka mengunjungi mana-mana pertubuhan dan menemui mana-mana individu diingini.

Susulan itu, WHO mengeluarkan laporan penyelidikan bersama China-WHO mengenai asal usul COVID-19 yang menyatakan secara jelas bahawa kebocoran makmal sebagai punca COVID-19, adalah ‘sangat mustahil’.

Laporan itu juga mengesyorkan beberapa cadangan penting seperti mencari kemungkinan kes awal COVID-19 di seluruh dunia dan mengkaji kemungkinan penularan virus melalui rantaian produk sejuk beku yang diiktiraf secara meluas oleh masyarakat antarabangsa dan komuniti saintifik.

Terdapat semakin banyak bukti menunjukkan bahawa virus COVID-19 sudah lama berada dalam komuniti. Beberapa kajian dijalankan institusi dan pakar perubatan membuktikan bahawa virus ini dikesan di Eropah seawal November 2019.

Kajian berkenaan juga mendedahkan bahawa berdasarkan situasi keseluruhan COVID-19, pandemik ini mempunyai pelbagai asal usul dan berlaku di beberapa lokasi berlainan.

Virus COVID-19 berasal dari persekitaran semula jadi adalah suatu pemahaman umum dalam kalangan komuniti saintifik. Melalui surat terbuka diterbitkan dalam jurnal perubatan ‘The Lancet’ pada 5 Julai, seramai 24 pakar dari seluruh dunia termasuk ahli virologi terkenal Malaysia menekankan bahawa virus COVID-19 wujud dan berevolusi secara semula jadi.

Pada 7 Julai, ahli sains dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia menerbitkan suatu artikel pracetak di platform perkongsian data penyelidikan Eropah Zenodo yang menyatakan, “Tiada bukti bahawa COVID-19 berasal dari Institut Virologi Wuhan”.

Namun begitu, terdapat beberapa negara yang tidak menghiraukan bukti saintifik sedia ada, sebaliknya mempolitikkan isu sains. Mereka secara terbukanya mengarahkan agensi perisikan menjalankan siasatan asal usul COVID-19, memburukkan dan menyalahkan negara lain, malah menggunakan pelbagai muslihat untuk menekan Sekretariat WHO dan pakar antarabangsa.

Suara keadilan harus didengar. Terdapat lebih 80 negara melalui surat kepada Ketua Pengarah WHO, kenyataan rasmi atau nota diplomatik, menyatakan sokongan mereka terhadap laporan penyelidikan bersama China-WHO dan membantah agenda politik dalam usaha merungkai asal usul COVID-19.

Selain itu, terdapat lebih 300 parti politik, pertubuhan dan kumpulan pemikir dari lebih 100 negara dan rantau menghantar kenyataan bersama kepada Sekretariat WHO, di mana mereka merayu WHO menjalankan kajian asal usul COVID-19 secara objektif dan adil, serta membantah agenda mempolitikkan usaha berkenaan.

Virus tidak dibatas sempadan dan tidak kenal bangsa. Seperti negara lain, China juga mangsa pandemik ini dan berhasrat dapat mencari asal usul virus supaya penularan wabak dikekang secepat mungkin.

China sentiasa mendukung pencarian asal usul COVID-19 berdasarkan sains dan segala agenda untuk mempolitikkan usaha ini mesti dibantah.

Kini, kita wajar menghormati sains dan mendukung kerjasama. Tujuan kajian asal usul virus adalah untuk mempertingkatkan pemahaman saintifik terhadap virus supaya kita dapat menghadapi penyakit berjangkit dengan lebih baik pada masa hadapan.

Menurut pengalaman manusia sewaktu ketika dulu, kajian asal usul Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), Ebola, Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS), Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan selsema babi (H1N1), semuanya membabitkan persoalan saintifik yang rumit merentasi pelbagai subjek dan bidang.

Begitu juga bagi kajian asal usul COVID-19, jawapannya harus dan hanya boleh didapati melalui penyelidikan oleh ahli sains. Memandangkan virus COVID-19 masih terus bermutasi dan merebak, keutamaan kita sekarang adalah untuk mengawal penularan wabak ini.

China membekalkan lebih 800 juta dos vaksin COVID-19 kepada lebih 100 negara dan pertubuhan antarabangsa.

Pada 5 Ogos, Presiden China, Xi Jinping, mengumumkan bahawa China akan berusaha membekalkan dua bilion dos vaksin kepada seluruh dunia sepanjang tahun ini, selain menderma AS$100 juta kepada Program COVAX dalam usaha menyalurkan sumbangan tambahan kepada pertarungan melawan pandemik sedunia.

Saya percaya, selagi seluruh dunia bersatu padu dan bekerjasama, awan gelap pandemik akan lenyap dan manusia akan menang dalam perang melawan COVID-19!

  • Ouyang Yujing adalah Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia

Sumber: Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *