Pelan Transformasi Industri Mineral 2021-2030

  • Oleh SHAMSUL ANUAR NASARAH

Oleh Dr. Shamsul Anuar Nasarah

Tingkat pembangunan, pengurusan industri mineral negara

Malaysia amat bertuah kerana kesan daripada sejarah pembentukan bumi yang berlaku jutaan tahun dahulu telah menghasilkan kepelbagaian sumber mineral yang amat penting kepada pertumbuhan ekonomi negara. Setiap sumber ini memiliki nilai yang signifikan dan berpotensi untuk dibangunkan namun ia perlu berasaskan kepada prinsip kelestarian dan kemampanan sumber untuk masa jangka panjang.

Semenjak kemerosotan perlombongan bijih timah, industri mineral negara sukar untuk berkembang maju seperti dahulu disebabkan kurangnya pelaburan dalam penerokaan sumber mineral baru. Tambahan juga kesan daripada faktor-faktor luaran seperti pertukaran penggunaan tanah, perkembangan kawasan perbandaran dan kepesatan pembangunan sektor-sektor lain terutamanya sektor perkilangan dan perkhidmatan menyebabkan industri mineral pada masa kini dianggap tidak lagi menarik.

Jika dilihat dari aspek kepentingannya, seharusnya semua pihak perlu melihat industri ini sebagai industri asas yang menyokong pelbagai sektor-sektor ekonomi strategik yang lain. Tanpa pengeluaran sumber-sumber mineral, sektor-sektor seperti sektor pembinaan, pengilangan, elektrik dan elektronik, telekomunikasi, logistik dan lain-lain turut akan mengalami kesukaran dalam meneruskan aktiviti masing-masing. Oleh itu, selain daripada bergantung kepada bahan mentah mineral yang diimport adalah wajar ianya diperolehi daripada sumber tempatan yang memang tersedia ada tetapi tidak diterokai sewajarnya.

Namun, dalam kerancakan minat untuk penerokaan bahan mineral ini, perkara asas yang perlu diberikan perhatian adalah berkaitan kesan yang mungkin timbul kepada alam sekitar dan habitat semulajadi. Kepentingan pengekalan kawasan berhutan akan terus menjadi agenda Kerajaan dan oleh itu sebarang aktiviti penerokaan dan perlombongan mineral di kawasan hutan simpan tidak akan dibenarkan. Ini termasuk kawasan sensitif alam sekitar (KSAS), kawasan tadahan air, kawasan sumber air bawah tanah dan kawasan habitat hidupan liar. Ia bagi mengelakkan gangguan kepada ekosistem dan implikasi terhadap risiko bencana, nilai sokongan hidup, nilai khazanah serta nilai warisan kawasan tersebut.

Kini, aktiviti perlombongan dan pengkuarian di negara-negara maju telah memasuki satu fasa penggunaan pelbagai teknologi geofizik, pengimejan 3D, realiti maya (virtual reality), realiti perantaran (argumented reality), sistem maklumat geografi (geographical information system), kenderaan panduan sendiri (autonomus vehicle), dron dan lain-lain teknologi terkini. Oleh itu, hala tuju pembangunan industri mineral negara hendaklah mengguna pakai teknologi tersebut terutamanya bagi mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan taburan mineral, guna tanah dan pengoperasian lombong yang lebih efisien. Pada masa yang sama, usaha membangunkan platform pangkalan data yang komprehensif perlu dilakukan termasuk aplikasi kebolehkesanan (traceability) sumber mineral bagi tujuan pemantauan dan kawalan perdagangan.

Justeru, bagi membangunkan semula industri mineral negara supaya menjadi satu industri yang berkembang pesat dan maju, kerajaan telah merangka pelan jangka panjang yang dinamakan sebagai Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030). Pelan ini akan dilaksanakan sepanjang Rancangan RMKe-12 dan RMKe-13 bertujuan untuk mempertingkatkan pembangunan dan pengurusan industri mineral dengan memberi penekanan kepada penciptaan nilai tambah, diusahakan secara lestari dan mencipta industri sokongan termasuk penggunaan teknologi terkini dalam Revolusi Industri 4.0. Hala tuju utama pelan ini adalah ‘sumbangan signifikan industri mineral kepada pertumbuhan ekonomi’ dan dijadikan sebagai agenda utama yang perlu dicapai. Visi ini dipandu melalui misi ‘membangunkan industri mineral merangkumi keseluruhan rantaian nilai berteraskan kepada prinsip kemampanan’.

Industri mineral
Pelan ini dibangunkan berasaskan kepada 5 teras utama merangkumi tadbir urus dan perundangan, pembangunan rantaian nilai industri mineral, pemetaan dan inventori sumber mineral, aplikasi teknologi dan inovasi serta pembangunan mo­dal insan. Pelan TIM 2021-2030 mensasarkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, industri mineral di Malaysia akan berkembang da­lam rantaian nilai yang lengkap dari peringkat huluan hingga hiliran terutama bagi mineral-mineral strategik.

Bagi menjayakan aspirasi ini, Kerajaan telah menetapkan beberapa sasaran utama sebagai petunjuk keberhasilan kepada kemajuan pelaksanaan pelan ini. Antaranya adalah peningkatan sumbangan sub-sektor perlombongan dan kuari kepada KDNK daripada 0.7 % kepada 1% pada tahun 2030, penubuhan Lembaga Pembangunan Industri Mineral Malaysia, pengurangan ketidakseimbangan perdagangan dan menggerakkan keseluruhan rantaian nilai industri mineral merangkumi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran. Berasaskan kepada pemetaan awal, sumber mineral negara adalah dianggarkan mencecah RM4.11 trilion dan oleh itu, sekiranya sumber ini dapat digunakan secara optimum, ia akan dapat memberi pulangan berganda terhadap ekonomi negara seterusnya dapat mengelakkan daripada berlakunya kemajiran sumber mineral di Malaysia.

Selain itu, terdapat beberapa jenis sumber mineral yang dilihat sebagai mineral strategik untuk dibangunkan merangkumi mineral bijih timah, pasir silika, kaolin, bauksit dan unsur nadir bumi bukan radioaktif (non-radioactive rare earth elements – NR-REE). Mineral-mineral ini perlu diutamakan bagi kegunaan domestik agar negara dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber mineral yang diimport. Kerajaan juga mensasarkan sumber mineral ini dibangunkan secara lebih efisien melibatkan pelaburan dari dalam dan luar negara menggunakan teknologi maju dan mesra alam. Melalui pelaburan ini, dijangkakan pembangunan kawasan-kawasan yang disasarkan sebagai wilayah (kluster) industri mineral dapat direalisasikan.

Di dalam Pelan TIM 2021-2030, konsep ’Circular Economy’ akan diterapkan dalam aktiviti perlombongan agar dapat memaksimumkan penggunaan sumber mineral yang ada, di samping mengguna semula sisa lombong yang masih mempunyai nilai. Selain itu, konsep ’urban mining’ turut akan diperkenalkan melalui pengekstrakan bahan mineral daripada bahan-bahan sisa buangan dari isi rumah, komponen elektronik dan sebagainya. Malahan, kerajaan telah membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk dijadikan panduan kepada semua pihak yang berkaitan. Ini menunjukkan usaha kerajaan tidak sahaja tertumpu kepada pembangunan ekonomi, malahan turut mengutamakan aspek kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan penduduk agar sasaran untuk membangunkan Industri ini secara mampan akan terlaksana.

Setiap perancangan yang telah ditetapkan dalam Pelan TIM 2021-2030 juga mengambil kira peranan yang wajar dimainkan oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri dalam pembangunan industri mineral ini. Sehubungan itu, Kerajaan akan memastikan sasaran yang ditetapkan sepanjang 2021 hingga 2030 berjaya dicapai mengikut pelan tindakan dan garis masa yang telah dirancang.

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah  ialah Menteri Tenaga dan Sumber Asli. – UTUSAN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *