Menerapkan Konsep Keluarga Dalam Politik, Perangi Pandemik

Situasi dan suasana politik sebelum pelantikan Perdana Menteri kesembilan membuatkan saya selalu teringat akan untaian ucapan lama mantan Perdana Menteri, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein kepada semua ahli Parlimen Perikatan sekitar 1972.

Frasa ‘kesedaran hakikat’ (new realism) selalu diungkap Abdul Razak pasca-peristiwa 13 Mei 1969 dan usaha awal pembentukan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Pesan beliau, andai boleh saya ringkaskan – “Mana-mana parti atau mana-mana kerjasama politik mesti mempunyai kesedaran hakikat, tidak bersandarkan kepada kekuatan dan keangkuhan lama.”

Berteraskan prinsip inilah seluruh kekuatan struktur politik mesti dihalakan ke arah membina kesepakatan luar biasa. Titah ingatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa ‘yang menang tidak menang semua, manakala yang kalah tidak pula kalah semua’ wajar difahami melalui aspek ini.

Dinamik perbincangan dalam suasana ‘kekeluargaan’ membolehkan setiap isu dan masalah diselesaikan dengan baik dan berkesan. Tidak ada istilah mustahil apabila sesuatu masalah dan isu dibawakan kepada ruang keluarga.

Tawaran disebutkan dalam ucapan sulung Perdana Menteri ialah sesuatu yang ikhlas dan jujur. Kita semua, kalangan ahli Parlimen, sudah pun memberi janji dan iltizam langsung kepada Seri Paduka untuk membenih persekitaran politik serba baharu.

Rakyat mengimpikan binaan dan kerangka politik tidak terlalu terpisah atas dasar ideologi. Dalam kita berhadapan cabaran pandemik COVID-19, kita memerlukan kerangka politik sebenar-benarnya bersifat ‘nasional’ dan rentas kepartian.

Tidak ada salahnya, andai semangat ‘kekeluargaan’ ini turut diterjemah dalam merealisasi beberapa keputusan dan strategi penting sewaktu sidang Parlimen nanti. Kita berjeda sekejap daripada politik totok kepartian.

Barangkali ini manfaat benar-benar diingini sekalian rakyat. Pandemik COVID-19 dilihat melalui perspektif ‘kekeluargaan’ akan pastinya menginsafkan. Jumlah kes keseluruhan yang mencecah lebih 1.5 juta dan jumlah kes kematian menghampiri angka 15,000 – seharusnya memberikan kesedaran.

Jutaan keluarga berhadapan pelbagai kesukaran. Ribuan anak kecil menjadi yatim piatu kerana COVID-19. Entah berapa lagi jumlah yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Tanpa perspektif ‘keluarga,’ apa kesan langsungnya kepada kita?

Faham dan amalan politik berteraskan semangat ‘Keluarga Malaysia’ mesti menjadi model baharu dalam masa terdekat. Pendekatan ‘kembali kepada asas’ perlu terus mendahului kepentingan rakyat.

Terus terang, majoriti rakyat cukup lega dengan keupayaan pimpinan parti politik membuat buntelan keputusan untuk menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Mengangkat dan menjulang semula kehormatan politik tidak semestinya berasaskan kesumat dendam dan arus kesombongan. Bak kata Abdul Razak, fahami dan hayatilah makna ‘kesedaran hakikat.’

Percayalah, sebarang beza pandangan, khilaf tanggapan yang ada mampu kita selesaikan dalam semangat kerjasama politik luhur dan asli. Bersangka baiklah sesama pemimpin parti. Muafakat rundingan, wajar menjadi wasilah untuk menyusun semula kekuatan dan kewibawaan keluarga politik.

Jangan mencipta kesumat – atas landasan kekalahan dan kerisauan peribadi. Setuju, parti lebih besar daripada mana-mana individu. Gunalah sifir sama untuk melihat kelemahan dan kekhilafan diri sendiri.

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Anfal: 61)

Kerangka politik wajar menjadi ruang memuliakan persahabatan dan kerjasama. Tidak meninggalkan sahabat ketika susah. Tidak mensabotaj watan kerana hati menjadi rentan. Tidak menghina dan memperkecilkan peranan yang boleh diisi teman di denai politik berlainan.

Aturan Allah SWT ini seharusnya mengajar kita untuk lebih berhemah, bertawaduk dan rendah diri dengan kuasa. Wang dan harta bukan segala-galanya. Dalam politik, akhlak dan peribadi mulia jua yang menjadi akar tunjangnya.

Kekuatan ‘kerjasama politik’ mesti dibina segera kerana kita tidak punya banyak masa. Kita tidak boleh lagi cempala mulut, mengulangi permainan ‘politik persepsi’ dengan menyindir dan mencemuh kerajaan kerana dendam politik. Hari ini, kita perlu bersama memandu adicita negara.

Tempoh mendatang ini mesti diisi dengan abstraksi demokrasi positif dan mengubat luka politik yang dalam. Rakyat menginginkan parameter politik lebih terbuka, lebih baharu dan mendahulukan kepentingan mereka. Ucapan awal Perdana Menteri sudah membuka denai siasah dimaksudkan.

Ini masa paling sesuai kita membuktikan diri sebagai pengamal politik matang. Kita tidak wajar mengaci-aci diri sebagai demokrat tulen, pendokong kedaulatan dan keabsahan Perlembagaan – andai menolak jalur perdamaian cuba dihulurkan.

Ini masa dan waktu paling wajar, untuk kita memberikan seluas-luas ‘harapan’ kepada rakyat. Sesungguhnya tidak ada absolutisme dalam politik. Yang ada dan wajar diperkukuh ialah fikrah persahabatan dan keikhlasan menyelesaikan keresahan dan kegusaran rakyat terbanyak.

Selari dengan nawaitu ‘keluarga besar Malaysia,’ kita semua ada tanggungjawab untuk membuka landskap politik serba baharu dan positif. Apa sahaja kesempatan ada, wajar digunakan untuk merangka polisi serta dasar memenuhi impian dan keinginan rakyat.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican,

Ahli Parlimen Kepala Batas dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *