Keluarga Malaysia: Terima Perbezaan Serta Berlapang Dada

Membina dan memakmurkan negara berdasarkan konsep Keluarga Malaysia adalah sangat bertepatan, pada saat seluruh negara sedang bertungkus lumus untuk berhadapan dengan COVID-19.

Konsep Keluarga Malaysia menggariskan tiga teras utama merangkumi keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dan 20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Matlamatnya adalah menyatupadukan segenap lapisan masyarakat untuk bekerja secara bersama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik Covid-19.

Konsep yang diperkenalkan bukan sesuatu yang sukar dihadam kerana ia berlandaskan nilai sedia ada yang dimiliki dalam setiap keluarga, selain nilai setiap Keluarga Malaysia juga disifatkan sebagai komponen penting demi menentukan jatuh atau bangun negara ini.

Adalah amat penting untuk kita sama-sama dan berganding bahu, meyakinkan bahawa setiap warga ada tempat dalam keluarga besar ini. Dan keyakinan ini perlu dimulakan dengan sikap terbuka; bersedia menerima kelainan pandangan. Seterusnya, rakyat perlu saling menghargai perbezaan pendekatan dan perbezaan kaedah agar tercapai nanti secara konsensus pendapat, pandangan, pendekatan dan kaedah terbaik untuk manfaat negara dan warga.

Dalam Islam, penganutnya dituntut untuk  menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia, bahkan berbuat baik dengan dengan semua perkara termasuk tumbuh-tumbuhan, haiwan dan seluruh alam.

Pendekatan menjaga hubungan, silaturahim, kesepakatan dan perpaduan dalam masyarakat perlu dibuat menerusi amalan memelihara hubungan baik bagi menjamin kehidupan harmoni dan sejahtera.

Firman Allah SWT: “Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan serta Kami jadi kamu pelbagai bangsa dan bersuku supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih takwanya antara kamu, bukan lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah lebih Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu.” (Al-Hujarat: 13)

Perbezaan pendapat adalah lumrah dalam kehidupan kerana Allah SWT menciptakan manusia dari suku-suku yang berbeza. Maka, bina dan gemblenglah usaha dan kebolehan masing-masing, agar masing-masing dapat belajar antara satu dengan yang lain. Percayalah, penyatuan dan satu hati kelak akan memberikan manfaat sekelian alam.

Perkara utama dalam meraikan perbezaan pendapat atau pandangan ialah sikap tasaamuh, iaitu berlapang dada.

Masyarakat bersatu padu, saling bantu-membantu untuk melakukan kebaikan dan menolak kejahatan serta saling berkasih sayang akan membentuk pertahanan atau benteng sangat kuat dan kukuh hingga sukar dipecah-belahkan. Dan penyatuan inilah yang diperlukan dalam Keluarga Malaysia ketika kita sama-sama berjuang menentang COVID-19.

Itulah keterangkuman, dan kebersamaan.

Kini, perpaduan yang sedia terjalin dan usaha melalui Keluarga Malaysia bakal diperkasakan melalui Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030. Ia adalah usaha untuk mengembalikan impian asal mengenai perpaduan yang tersurat dalam lima prinsip Rukun Negara.

Rukun Negara adalah dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga Malaysia yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970. Dan ianya didokumenkan setelah mengambil ikhtibar dari ratapan sejarah hitam negara pada tahun 1969.

Apa pun isu dan ulasan mengenai perpaduan di Malaysia, usaha mengukuhkannya bukanlah satu pilihan. Ianya adalah satu kemestian kerana kita hidup di dalam masyarakat majmuk berbilang kaum.

Maka, keharmonian adalah mandatori dalam usaha untuk mencapai kestabilan.

Keluarga Malaysia menggandakan usaha pemimpin terdahulu dalam memupuk keharmonian bagi mencapai kestabilan. Dan hanya melalui kestabilan negara mampu mencipta ‘progress’; bergerak ke hadapan untuk membawa Malaysia keluar dari pandemik, dan memakmurkan ekonomi negara pasca COVID-19.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *