5G: MoF Hilang Haluan?

Tampaknya usaha mempercepatkan akses spektrum generasi kelima (5G) bagi rangkaian mudah alih negara kepada pengguna mungkin akan berhadapan kekangan dan halangan lagi.

Setelah berbulan-bulan berpolemik antara meneruskan model Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network -SWN) atau Dua Rangkaian Pemborong (Dual Wholesale Network – DWN), kerajaan akhirnya membuat keputusan mengekalkan model SWN.

Kabinet bersetuju dengan cadangan bersama oleh Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Multimedia Malaysia untuk mengekalkan model SWN di bawah Digital Nasional Berhad (DNB) dengan perubahan dari segi pemilikan saham.

Cadangan perubahan tersebut ialah kerajaan akan mengurangkan pegangan saham mereka dalam DNB kepada 30 peratus sahaja. 70 peratus saham lagi akan ditawarkan kepada syarikat pengendali rangkaian mudah alih (telco) sedia ada.

Selepas pengumuman ini, media massa melaporkan reaksi Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd yang menyambut baik keputusan kerajaan membuka ruang bagi syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB).

Bagaimanpun sejak beberapa hari ini kita dapati wujud konflik baharu apabila sebahagian besar telco ini tidak bersetuju dengan dokumen teknikal Penawaran Terma Capaian atau Reference Access Offer (RAO) yang dikeluarkan oleh DNB.

RAO adalah dokumen teknikal penting yang memberitahu pihak telco mengenai perkhidmatan 5G yang ditawarkan oleh DNB kepada mereka, yang antaranya ialah spesifikasi 5G yang ditawar, kos yang perlu dibayar dan syarat kualiti yang perlu ditawarkan DNB kepada telco.

Walaupun tidak pasti berapa harga yang akan dikenakan kepada pengguna, namun The Edge (25 Januari 2022) membuat anggaran kos yang akan dibayar oleh telco bagi setiap 1 Gigabait (GB) ialah 13 sen. Ini berdasarkan harga bulanan RM30,000 bagi setiap GB per saat (Gbps) yang ditawarkan oleh DNB.

Perlu diingat kos ini adalah kos bersih kerana telco tidak mengeluarkan sebarang modal bagi pembinaan infrastruktur 5G seperti mana yang mereka perlu lakukan dalam spektrum 3G dan 4G. Telco juga mempunyai pemfaktoran kreatif lain seperti ‘traffic shaping’ dalam menentukan harga sebenar kepada pengguna.

RAO ini disediakan oleh DNB dengan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Justeru ia seharusnya telah menjadi satu dokumen menang-menang kepada DNB dan telco.

Malangnya telco-telco utama masih tidak bersetuju dengan RAO yang dikeluarkan. Setakat ini hanya YES dan Telekom yang melanggan infra 5G yang telah disiapkan.

Kita menerima hakikat bahawa telco-telco ini perlu menjaga kepentingan mereka agar tidak rugi atau ditindas oleh DNB. Namun kita juga tidak mahu telco-telco ini bertukar menjadi kartel yang ‘mengugut’ DNB secara tersirat dengan mahukan syarat-syarat yang berat sebelah menguntungkan mereka dan merugikan DNB.

Kebimbangan banyak pihak ialah empat telco lagi yang menguasai lebih 90 peratus rangkaian telefon mudah alih negara telah menggunakan kedudukan mereka untuk menekan DNB, sebagai tindak balas ke atas kerajaan yang menolak cadangan pelaksanaan model DWN.

Sebahagian pengguna dan industri mahukan akses 5G ini segera ditawarkan kepada mereka. Namun ini tidak akan terjadi selagi telco-telco utama ini bersatu dan menggunakan kedudukan besar mereka dalam pasaran bagi mendapatkan tawaran yang luar biasa dari DNB.

Di sini kita tertanya-tanya adakah MoF sebagai pihak yang bertekad mahu melaksanakan SWN ini memainkan peranan mereka dengan cukup berkesan bagi menjayakan model ini.

MoF harus melihat secara holistik RAO yang disediakan dan kehendak telco-telco terbabit. Jika RAO ini sudah cukup realistik dan menguntungkan semua pihak, tidak ada sebab syarikat seperti Celcom sendiri bermain tarik tali.

Celcom merupakan anak syarikat Axiata Berhad yang mana MoF secara langsung menguasai 36.74 peratus sahamnya. Selain itu terdapat pengaruh tidak langsung MoF dalam Axiata menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 17.06 peratus dan Skim Amanah Saham Bumiputera sebanyak 11.94 peratus.

Jadi kita tertanya-tanya bagaimana hal ini boleh terus tertangguh dan tertunda dengan Celcom, sedangkan Celcom dan DNB berada di bawah kawal selia MoF.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *